PENGHINAAN KE ATAS PEMAIN LAWAN BERAGAMA ISLAM: MELBOURNE VICTORY FC BERTINDAK MEMBATALKAN KEAHLIAN PENYOKONGNYA.



Oleh: Hairi Mohd

Pihak pengurusan Melbourne Victory telah mengambil tindakan drastik apabila membatalkan keahlian seorang penyokongnya yang telah membuat serangan peribadi bersifat perkauman dan anti-Islam. 


Mesej Penghinaan

Bintang A-League yang merupakan bekas pemain kebangsaan Australia (Socceroos) Tarik Elrich telah memuat naik suatu status di laman twitter yang mendedahkan mesej penghinaan yang diterimanya dari seorang penyokong Melbourne Victory selepas perlawanan antara kelabnya, Western Sydney Wanderes (WSW) menentang Melbourne Victory (MVFC) pada 5 Januari 2019 lalu.
Mesej penghinaan yang berbunyi:


Penyokong Melbourne Victory yang menggunakan akaun twitter bernama @jpurcell459_ tersebut mempersoalkan kredibiliti Tarik sebagai pemain bola sepak profesional sambil mengeluarkan kata-kata kesat berupa penghinaan terhadap asal-usul Tarik (Lubnan) dan agama beliau (Islam). 

Mesej tersebut dipercayai berpunca daripada kekecewaan penyokong tersebut ke atas insiden pelanggaran yang berlaku antara Tarik dengan penjaga gol MVFC iaitu Lawrence Thomas hingga mengakibatkan kecederaan penjaga gol tersebut.


Pesanan Balas daripada Tarik

Tarik Elrich membalas kritikan pemain tersebut dengan mengatakan:

“Perkara seperti ini tidak perlu. Panggilah saya bodoh, panggillah saya hodoh, panggilah saya ‘lebbo’ atau apa sahaja, namun jangan melibatkan agama saya dalam hal ini”




Siapakah Tarik Elrich?

Tarik Elrich merupakan seorang pemain pertahanan kanan berusia 32 tahun yang kini beraksi untuk Western Sydney Wanderes. Tarik merupakan warganegara Australia berketurunan Lubnan dan beragama Islam yang dilahirkan di Sydney, Australia.

Tarik Elrich ketika mewakili Australia. Foto: TheHerald

 Antara kelab yang pernah diwakili oleh Tarik selain Western Sydney Wanderes ialah Sydney Olympic, Newcastle Jets dan Adelaide United. Sepanjang karier beliau bersama dengan pasukan kebangsaan Australia, Tarik pernah mewakili skuad Australia bawah 20, bawah 23 dan skuad senior Australia.

KarierTarik Elrich sepanjang di A-League. Foto: Fozsportslab


Sokongan Komuniti Bola Sepak Terhadap Tarik Elrich

Tindakan Tarik yang membongkarkan mesej penghinaan tersebut kepada umum mendapat pelbagai sokongan daripada para penyokong sama ada penyokong Western Sydney Wanderes, Melbourne Victory, para pemain A-League sendiri dan penggiat sukan di Australia.

Antara komuniti sukan Australia yang memberikan sokongan kepada Tarik ialah penyampai program sukan rangkaian televisyen Fox iaitu Adam Peacock dan penjaring terbanyak A-League sepanjang zaman iaitu Archie Thompson yang mengatakan bahawa “ mereka tidak tahu apa yang mereka katakan, Tarik”.


Penganalisis bola sepak dan bekas pemain kebangsaan Australia, Craig Foster juga tidak ketinggalan untuk memberikan sokongan kepada Tarik. Craig Foster melalui laman sosial twitternya menulis:

“ Syabas Tarik, tahniah kerana membongkarkan hal yang menjijikkan seperti perkauman dan penghinaan agama seperti ini. Terlalu banyak warga Australia yang bersikap seperti ini pada setiap hari dan tindakan orang seperti anda, yang merupakan tumpuan masyarakat pasti dapat membantu usaha kita untuk membasmi masalah ini dan memberikan kesedaran kepada komuniti Australia terhadap bahaya perkauman dan penghinaan agama"

Penulis sukan bola sepak ‘The Australian’ iaitu Ray Gatt dan bekas jurulatih Newcastle Jets, Gary Van Egmond juga merupakan antara pihak yang tampil memberikan sokongan kepada beliau.


Kenyataan Rasmi Melbourne Victory FC

Insiden tersebut benar-benar telah membuka mata pihak pentadbir A-League dan seluruh komuniti bola sepak Australia. Melbourne Victory tampil dengan kenyataan media rasmi dengan kenyataan yang berbunyi:

“Melbourne Victory FC amat peka terhadap status berbaur perkauman dan penghinaan agama yang dilakukan terhadap pemain Western Sydney Wanderes, Tarik Elrich”


Kenyataan rasmi MVFC tentang  pembatalan keahlian penyokongya. Sumber: laman web mvfc

Melbourne Victory benar-benar serius menjayakan kempen penghapusan unsur-unsur perkauman dalam bola sepak. Pihak mereka telah mengadakan perbincangan dan siasatan segera dengan bantuan pihak pengurusan Western Sydney Wanderes dan Federasi Bolasepak Australia sebelum akhirnya membuat keputusan untuk membatalkan keahlian penyokong tersebut.

Post a Comment

0 Comments