TEMU BUAL EKSKLUSIF: ANMAR ALMUBARAKI (KEDAH FA)



Umum mengetahui bahawa pengurusan Kedah FA telah melakukan revolusi apabila membawa muka-muka baharu ke kelab mereka termasuklah LIMA pemain import yang dijangka memberi sinar kepada perjuangan Kedah FA dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL 2019). 


Para penyokong skuad Hijau Kuning pasti teruja dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk menyaksikan persembahan kelima-lima pemain import baharu mereka. Antara salah seorang pemain import tersebut ialah Anmar Almubaraki yang merupakan pemain import berpasport Asia.

Foto: Khairil Ajhar

Kami di Football Lads, amat berbangga kerana mendapat kebenaran eklusif Anmar Almubaraki untuk mengadakan temu ramah khas bersama dengan Anmar Almubaraki. Sesi temu ramah ini merupakan sesi temu bual Anmar dengan media sosial dari Malaysia buat kali pertama.

Latar Belakang

Football Lads: Apa khabar Anmar? Selamat datang ke Kedah FA dan Malaysia. Bolehkah saudara Anmar menceritakan serba sedikit maklumat tentang diri saudara untuk tatapan para penyokong anda?

Anmar: Sudah tentu boleh, Nama saya ialah Anmar Almubaraki dan nama penuh saya ialah Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki. Tapi cukuplah sahaja panggil saya dengan nama Anmar, lebih mesra dan lebih mudah. Saya berusia 27 tahun dan menetap di Netherlands (Belanda).

Football Lads: Oh maksudnya anda bermastautin di Netherlands tetapi pada masa yang sama memegang pasport Asia, benar?  Bolehkah anda menerangkan serba sedikit tentang hal tersebut?

Anmar: Ya, sebenarnya keluarga saya berasal dari Basra, Iraq. saya telah dilahirkan di Basra pada 1 Julai 1991. Namun akibat peperangan yang melanda negara saya, ibu bapa saya telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Eropah. Akhirnya, kami sekeluarga berhijrah ke Netherlands ketika saya berusia 3 tahun. Sebenarnya, saya mempunyai dua kerakyatan iaitu kerakyatan negara Netherlands dan Iraq.

Football Lads: Bagaimanakah anda boleh memperoleh dua kerakyatan?

Anmar: Seperti yang saya nyatakan tadi, ibu bapa saya berhijrah ke Netherlands semasa saya masih kecil dan saya membesar di Netherlands. Oleh itu saya mendapat kerakyatan Netherlands. Saya juga mendapat kerakyatan Iraq kerana saya pernah mewakili pasukan kebangsaan Iraq.


Posisi dan Karakter Permainan

Football Lads: Oh ya. Sebelum saya terlupa, bolehkah anda berikan sedikit gambaran tentang posisi anda sebagai pemain bola sepak dan  ‘stail’ permainan anda?

Anmar: Posisi utama saya ialah pemain sayap kiri atau kanan dan juga pemain tengah menyerang. Kekuatan saya ialah kawalan bola dan hantaran bola. Saya gemar melakukan gelecekan bola dan menggunakan kepantasan yang saya miliki untuk menewaskan lawan.


Video Aksi Anmar bersama Army United (2018)


Karier Awal Bola Sepak

Football Lads: Jadi, karier bola sepak anda pasti bermula di Netherlands bukan? Bolehkah anda berkongsi dengan para peminat tentang detik-detik permulaan karier bola sepak anda iaitu kelab pertama anda?

Anmar: Pasti boleh (sambil tersenyum). Ya, segala-galanya bermula di Netherlands. Netherlands ialah sebuah negara yang cintakan bola sepak. Saya mula bermain bola sepak seawal usia 7 tahun. Pada waktu itu, saya telah ditawarkan untuk menyertai Akademi  FC Twente yang terletak di Enschede.


Karier Bola Sepak di Peringkat Senior

Football Lads: Wah, FC Twente ialah salah sebuah kelab gergasi Netherlands! Bagaimanakah pula dengan karier anda di peringkat senior, apakah kelab terbesar yang pernah anda wakili?

Anmar: Kelab terbesar yang pernah saya wakili ialah Heracles Almelo. Heracles Armelo merupakan sebuah kelab yang beraksi di liga utama Belanda iaitu Eredivise. Ketika ini Heracles menduduki tangga ke-6 Eredivise di belakang PSV Eindhoven, Ajax, Feyenoord, FC Utrecht dan Vitesse.

Anmar Almubaraki ketika menentang Ajax Amsterdam

Football Lads: Apakah pencapaian terbaik anda bersama Heracles?

Anmar: Pencapaian terbaik saya bersama Heracles ialah saya berjaya membantu mereka layak ke perlawanan akhir KNVB Cup 2011/2012. KNVB Cup atau dikenali sebagai Dutch Cup dimainkan sama seperti format Piala FA di England. Dalam perlawanan akhir, kami bertemu dengan PSV Eindhoven, namun sayang, kami tewas 0-3 kepada mereka.

Football Lads: Selain Heracles Armelo, apakah kelab lain yang pernah anda wakili di Eropah?

Anmar: Selain Heracles, saya pernah beraksi buat dua kelab liga Belanda (Netherlands) iaitu FC Emmen dan Telstar. Saya juga pernah beraksi buat kelab Turki iaitu Denizlispor dan kelab Sweden iaitu Syrianska.

Anmar berjaya membawa Heracles mara ke Final Dutch Cup untuk bertemu PSV Eindhoven. Foto: Heracles Almelo.


Pasukan Kebangsaan

Football Lads: Adakah anda pernah mewakili pasukan kebangsaan?

Anmar: Ya, saya mewakili pasukan kebangsaan Iraq sebelum ini. Wakil Persatuan Bolasepak Iraq menemui saya ketika saya masih bermain di Netherlands dan menawarkan saya menyarung jersi pasukan kebangsaan Iraq. Oleh sebab itu saya mempunyai pasport Iraq dan kini berstatus pemain import Asia.

 Anmar Almubaraki (21) bersama dengan pasukan kebangsaan Iraq (Anmar: Barisan hadapan, paling kanan)

Anmar Almubaraki, mendapat tumpuan media Iraq apabila membuat keputusan untuk mewakili negara Iraq

Anmar bersama penggempur utama Iraq, Younis Mahmoud

Kedah FA

Football Lads: Setelah beraksi di Eropah, anda membuat keputusan untuk berhirah ke Asia khususnya Kedah FA, apakah yang menyebabkan anda membuat keputusan untuk berhirah ke Kedah FA?

Anmar: Setelah puas bermain di Eropah saya fikir tiba masanya untuk saya berkelana jauh dari Eropah. Oleh itu saya memilih untuk berhijrah ke Asia. Keputusan untuk berhijrah ke Kedah FA bukanlah keputusan yang sukar. Saya memang mengetahui pasukan Kedah FA sejak bermain di Indonesia dan Thailand lagi. Saya juga mempunyai sahabat dari Malaysia. Kedah FA amat popular di Malaysia. Kedah FA ialah sebuah pasukan gergasi Liga Super Malaysia dan mempunyai pelbagai sejarah kegemilangan bola sepak tempatan. Faktor-faktor inilah yang telah menambat hati saya untuk ke sini.

Anmar AlMubaraki memulakan latihan bersama skuad utama Kedah FA. Foto: Kedah FA

Football Lads: Setelah berada di sini sejak seminggu lalu, apakah pandangan anda tentang Kedah FA, bandar Alor Setar dan Malaysia.

Anmar: Saya sangat sukakannya! Saya berasa amat diterima di sini. Penduduknya amat mesra dan sentiasa tersenyum. Bandarnya indah dan tenang. Penyokongnya amat menakjubkan. Saya tidak sangka akan menerima sambutan yang meriah ketika kami tiba di lapangan terbang. Isteri dan anak saya gembira berada di Kedah. Mereka sukakan Malaysia! Kami benar-benar berasa seperti berada di negara sendiri.

Pengumuman Rasmi Anmar tentang penghijrahannya ke Kedah FA

Sasaran Musim 2019

Football Lads: Apakah sasaran anda untuk pasukan Kedah FA 2019?

Anmar: Saya akan memberikan segala-galanya yang saya ada untuk pasukan ini. Cabaran memang besar kerana liga ini mempunyai banyak pencabar yang hebat, namun kami akan berusaha sedaya-upaya dan bermain sebagai suatu pasukan untuk memenangi kejuaraan yang ditawarkan. 


Liga Bola Sepak di Asia Tenggara

Football Lads: Setelah dua musim bermain di Asia Tenggara iaitu di Persiba Balik Papan (Indonesia 2017), Army United (Thailand 2018) dan kini Kedah FA (Malaysia 2019),  apakah pandangan anda tentang Liga Indonesia, Thailand dan Malaysia?

Anmar: Pada firasat saya, liga-liga ini banyak mempunyai pemain yang berpotensi namun tidak diberi peluang untuk menonjol. Liga bola sepak di negara-negara ini tidak mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa. Liga-liga ini “underrated”. Sebenarnya popularitinya amat besar di sini dan liganya cukup besar. Sesetengah kelab beroperasi dengan amat profesional berbanding dengan jangkaan yang diberikan oleh masyarakat luar (luar Asia Tenggara). Liga-liga ini berkembang setiap tahun dan mempunyai kumpulan penyokong yang hebat.

Anmar beraksi dengan baik sepanjang satu musim bersama dengan Army United.

Football Lads: Apakah faktor utama yang membuatkan anda mengambil keputusan untuk kekal di Asia Tenggara?

Anmar: Penyokong! Pastinya penyokong. Penyokong-penyokong bola sepak di Indonesia dan Thailand amat hebat. Malaysia juga pasti begitu. Amat mengujakan setiap kali mendengar sorakan penyokong. Mereka menyanyi sambil melaung-laungkan nama anda. Setiap kali nama saya dilaungkan, semangat saya akan meningkat berkali-kali ganda. Penyokong merupakan faktor utama saya cinta akan profesion ini. Saya bekerja keras untuk melihat mereka gembira.

Football Lads: Adakah anda mempunyai sebarang pesanan untuk semua penyokong Hijau Kuning?

Anmar: Sudah tentu, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh peminat Kedah FA yang telah menerima kehadiran saya ke dalam keluarga besar Kedah FA. Saya berasa terharu dan teruja atas segala sokongan yang saya terima. Saya berjanji akan berusaha yang terbaik untuk membalas sokongan anda semua. Saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ini. Semoga usaha kami nanti akan menjadi tunjang kepada kebangkitan Kedah dan kita akan memenangi seberapa banyak piala pada musim ini!. 



Football Lads: Baiklah Anmar, terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Selamat maju jaya dan Semoga anda akan berjaya mencipta kejayaan bersama pasukan Kedah FA pada musim ini. Semoga penghijrahan ke Malaysia akan menjadi hadiah Krismas terbaik buat anda dan keluarga anda.

Anmar: Sama-sama

Football Lads: Pulun Kedah Pulun!

Anmarya! (ketawa)  Pulun Kedah Pulun!



Post a Comment

0 Comments