PIALA LIGA SUPER, PIALA FA DAN PIALA MALAYSIA: MANAKAH LEBIH MULIA?

Seperti yang kita maklum, kini hanya juara LIGA SUPER MALAYSIA dan juara PIALA FA yang mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC hingga layak untuk mewakili Malaysia di peringkat benua Asia.




Kita juga maklum bahawa PIALA SUMBANGSIH ialah saingan pembuka tirai musim baharu Liga Malaysia. Piala Sumbangsih melibatkan perseteruan antara juara bertemu dengan juara.

Namun, apa yang membingungkan ialah format Piala Sumbangsih itu sendiri kerana seolah-olah pengurusan lama FAM memberikan pengiktirafan yang terlalu tinggi kepada Piala Malaysia berbanding dengan pengiktirafan kepada juara liga Super dan Piala FA.



TIGA KALI PERUBAHAN FORMAT PIALA SUMBANGSIH 

Piala Sumbangsih pertama kali diwujudkan pada tahun 1984. Piala ini mempertemukan juara PIALA MALAYSIA (PM) dengan juara Liga Perdana (LP) ( Juara PM vs Naib Juara LP jika Juara PM juga merupakan juara LP). *Liga Perdana ialah Liga utama Malaysia sebelum wujudnya Liga Super Malaysia.


Juara Liga Super ,JDT muncul juara Piala Sumbangsih selepas menewaskan naib juara Piala Malaysia, Kedah 2-1 untuk menjuarai Piala Sumbangsih 2018. Foto: Mohd Azren Jamaluddin dan Hairul Anuar Abd Rahim

Format Piala Sumbangsih diubah pada tahun 1993 iaitu selepas sembilan tahun kewujudannya. Format baharu Piala Sumbangsih melibatkan pertemuan juara PIALA MALAYSIA menentang Juara Piala FA. (Juara PM vs Naib juara Piala FA jika juara PM ialah juara Piala FA). 


Pada waktu ini jelas menunjukkan bahawa pengurusan FAM secara terang-terangan menidakkan prestij juara Liga Perdana yang merupakan juara utama Liga Malaysia dan meletakkan standard trofi tersebut di belakang Piala Malaysia dan Piala FA.


Pahang Muncul juara Piala FA 2018 selepas menewaskan Selangor FA. Foto: Pahang FA

Akhirnya perubahan kali ke-3 format Piala Sumbangsih telah dilakukan pada tahun 2011. Pada tahun tersebut, Pihak FAM sekali membuat perubahan yang lebih baik, namun perubahan tersebut tetap berpijak kepada juara Piala Malaysia apabila format Piala Sumbangsih adalah antara Juara Piala Malaysia menentang Juara Liga Super Malaysia.

KEKELIRUAN BUAT PENYOKONG
Ringkasan daripada perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh pengurusan FAM yang lama, dapat kita simpulkan bahawa penyokong bola sepak Malaysia mengalami kekeliruan terhadap prestij trofi-trofi kejuaraan yang ada di Malaysia. 


Tindakan FAM yang mengutamakan trofi Piala Malaysia berbanding trofi kejohanan Liga Super telah mendorong pengurusan kelab-kelab bola sepak mengutamakan kejuaraan trofi Piala Malaysia berbanding dengan trofi Liga Super Malaysia.

Trofi Piala Malaysia tidak mendatangkan sebarang impak terhadap peningkatan bola sepak Malaysia dan rangking mata MA AFC yang dapat meningkatkan standard Liga Malaysia di peringkat Asia. 



Perak muncul juara Piala Malaysia selepas menundukkan Terengganu FC dalam perlawanan akhir. Foto: Nur Adibah Ahmad Izham.

Jika trofi Liga Super dan trofi Piala FA dapat memberikan peluang kelab Malaysia beraksi di Piala AFC dan seterusnya membantu usaha kelab Malaysia untuk memungut mata MA AFC bagi dinaikkan taraf ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), trofi Piala Malaysia adalah sekadar piala tradisi yang bernilai pada mata rakyat Malaysia tetapi tidak di peringkat antarabangsa.

Post a Comment

0 Comments