TERIMA KASIH ATAS MEMORI TERINDAH YANG TERUKIR DI STADIUM RAJAMANGALA

Beginilah pengalaman Indah saya di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada Rabu 5 Disember 2018.

Stadium Rajamangala, pentas separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki antara Thailand dan Malaysia. Foto: .foxsportsasia.com

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH kepada MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE kerana memilih saya bersama dua orang penyokong tegar Malaysia lain untuk Thailand bersama dengan MFL bagi menyaksikan perlawanan bolasepak Piala AFF Suzuki 2018 peringkat separuh akhir kedua di Bangkok, Thailand yang berlangsung pada hari Rabu yang lalu.

Saya pasti setiap penyokong tegar yang pergi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki peringkat Separuh Akhir antara Thailand lwn Malaysia amat berharap agar pasukan kebangsaan kita mencapai keputusan terbaik yang boleh membawa pasukan kita ke pentas akhir kejohanan bola sepak paling berprestij di muka bumi Asia Tenggara ini.

Sememangnya saya tidak terkecuali, saya sama seperti ratusan para penyokong Harimau Malaya yang membawa impian dan harapan yang sama sebaik sahaja kaki saya berpijak di bumi 'The Land of Smiles.'


Setelah tidur dengan nyenyak seperti yang disyorkan oleh penjaga gol Thailand, (kerana menurutnya, pasukan dan para penyokong Malaysia akan mengalami 'nightmare' pada hari perlawanan nanti), dengan hati dan semangat yang berkobar-kobar, saya berserta dua orang sahabat saya lagi dan rakan-rakan dari MFL bergegas ke stadium keramat pasukan Thailand.

Akibat rasa keterujaan yang amat sangat dan perasaan tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan genting ini, kami telah tiba ke stadium seawal pukul 4.15 petang.

Kami amat berasa terperanjat apabila melihat sudah ramai penyokong berbaju biru tua yang terlebih dahulu memenuhi perkarangan stadium sejak awal-awal lagi.



Barisan tentera Biru telah berada di Stadium Rajamangala sejak awal lagi.

Suasana ketika itu seperti sebuah pesta besar peringkat kebangsaan yang sedang berlangsung ketika itu. Tidak kira sama ada yang tua mahupun yang muda, lelaki atau perempuan, seluruh penyokong tegar Thailand memenuhi pelusuk perkarangan stadium.

 Ada yang duduk santai secara berkumpulan di atas rumput seperti berkelah di tepi pantai, ada yang mengerumuni khemah-khemah yang sedang mempromosikan barangan tertentu, dan yang paling 'WORLD' ( saya pinjam trademark milik Mawi) apabila Ultras Thailand menyanyi dan berdansa dengan penuh semangat bersama para penyokong mereka.



Para penyokong yang tiba awal bersantai di pekarangan stadium Rajamangala

Keadaan ini merupakan 'a sight to behold and to take in'. Suasananya sungguh meriah sekali. Saya turut terikut-ikut dengan rentak nyanyian mereka. Para penyokong Thailand yang terkenal dengan gelaran ' The Land of Smiles' pun turut tersenyum melihat gelagat saya yang spontan ini.


Kami juga terharu apabila ramai para penyokong Thailand datang bersalaman dan berswafoto dengan kami. Mereka menyambut kehadiran para penyokong kita dengan baik sekali.

Pendek kata, kami sangat terhibur dengan apa yang kami saksikan dan alami semasa sebelum  bermulanya sepak mula perlawanan.
Terima kasih, para penyokong Thailand!

Foto: AFF Suzuki Cup
Tidak kurang juga hebatnya dengan para penyokong kita yang diketuai oleh Ultras Malaya. Mereka menbanjiri pekarangan stadium dengan chant-chant pembakar semangat para penyokong dan pasukan kebangsaan Malaysia.


Apabila kami masuk ke stadium, sudah tentu stadium keramat ini bak lautan biru dipenuhi para penyokong tuan rumah. Para penyokong tegar negara kita tidak kurang hebat dalam bahagian sorakan dan 'chanting' , lebih-lebih lagi Ultras Malaya yang tidak mengenal erti penat lelah demi membangkitkan semangat jati dan patriotik yang sudah lama terpahat di dalam sanubari kita dan mengalir pada setiap inci badan setiap penyokong Malaysia di stadium.




Jujur saya katakan, saya amat terharu dan sebak apabila Ultras Malaya memimpin semua penyokong menyanyikan lagu patriotik yang tidak asing lagi iaitu:

INILAH BARISAN KITA!

Suasana di dalam stadium sebelum dan semasa perlawanan di selang-seli dengan sorakan dan nyanyian Ultras serta para penyokong masing-masing. Satu suasana dan pengalaman yang menyeronokkan dan menggembirakan untuk semua yang berada di stadium.


Momen yang paling indah bagi saya adalah apabila tendangan penalti sepakan pemain Thailand, Adisak Kraisorn pada minit-minit akhir perlawanan tidak berjaya menerjah masuk ke dalam gawang gol kita.
Apabila sepakan penalti diberikan kepada Thailand di minit terakhir, SEMUA penyokong Malaysia macam tidak percaya bahawa perkara ini akan berlaku, ‘ bak mimpi ngeri’ seperti kata penjaga gol Thailand tempoh hari. Para penyokong kita berpandan sesama sendiri dalam keadaan sebak dan pilu. 

Ada yang menggelengkan kepala, ada yang menutup muka dengan tangan, ada yang meraung. Pelbagai reaksi mereka nyata menuntun hati saya.

Sunyi...
Senyap...
Sepi…

Semua penyokong Malaysia menunggu dengan penuh debaran sementara para penyokong Thai pula memberi sorakan yang gemuruh kepada Adisak Kraisorn.
Penyerang Thai nombor 9, Adisak, berlari ke arah bola dan terus menendang dengan kuat sekali. Faizal Marlias sudah bergerak ke sebelah kiri dan beliau nyata tersalah langkah...
Bola yang kuat itu terus melambung, terkena palang gol dan terus melambung tinggi melepasi palang..



Ohhhhh...

Kesemua penyokong Malaysia melonjak-lonjak kegembiraan, menari dan memekik terlolong dengan penuh kegembiraan. Ada yang berpelukan sesama sendiri, tak kira sama ada saling mengenali ataupun tidak, ada yang memberi 'High-Five.' Tidak kurang juga yang menadah tangan ke hadrat Ilahi dengan penuh kesyukuran.

Demikianlah reaksi spontan dari para penyokong tegar kita.
Suasananya di bahagian penyokong Malaysia gamat seperti sambutan Hari Raya Adil Fitri... Bergemalah, berkumandanglah kembali nyanyian Malaya Ultras mengisi setiap ruang stadium.

' What a feeling...'

'Amazing...'


'The best moment...'


'In a blink of an eye, we were in the depth of our despair, yet the next moment, that same despair that was prowling to crush us had turned into joy and ecstasy which a minute ago were beyond our reach...'

Itulah suara batin saya ketika itu!!!!
Apa yang membuat saya terpegun adalah sikap terpuji para penyokong Thailand. Walaupun mereka tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, namun mereka tetap hadir kepada kami dan bersalaman dengan kami sambil mengucapkan ucapan tahniah!
Segala hormat dan penghargaan saya berikan kepada penyokong Thai atas sikap profesional penyokong mereka!

Namun penghargaan yang teragung pastilahkepada pasukan bola sepak kebangsaan kita, HARIMAU MALAYA, yang telah bertungkus-lumus mengerah keringat dari sepak mula hinggalah ke titisan terakhir. Mereka mempunyai karaktere pejuang hang hebat dan memiliki semangat kental yang tinggi. Mereka tidak mudah menyerah kalah walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan getir!

Inilah sifat dan jati diri sebenar bangsa Malaysia!
Bukan sahaja Malaysia Boleh, sememangnya Malaysia Menang!!!



Catatan ini adalah sebahagian daripada bingkisan daripada pengalaman saudara Kenneth Chew yang menerima jemputan Malaysian Football League untuk ke Bangkok bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki antara Thailand dengan Malaysia.
Susunan Artikel: Hairi Mohd

Post a Comment

0 Comments