FAKTA-FAKTA TENTANG VIETNAM DAN MALAYSIA DI PENTAS FINAL PIALA AFF SUZUKI

Tanggal 11 Disember 2018 pasti menjadi tarikh keramat dan cukup mendebarkan buat seluruh rakyat Vietnam, Malaysia malah seluruh warga Asia Tenggara. 

Saingan Piala AFF Suzuki 2018 akhirnya hampir menemui titik noktahnya apabila dua buah pasukan terkuat iaitu Malaysia dan Vietnam akan beraksi dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebelum kedua-duanya bertemu sekali lagi di Hanoi empat hari kemudian. (15 Disember 2018).


Selain Thailand dan Singapura yang memegang rekod sebagai juara terbanyak, Vietnam dan Malaysia mempunyai pencapaian yang hampir sama kerana kedua-duanya pernah menjadi juara kejohanan AFF Suzuki sebanyak SATU kali iaitu Vietnam pada tahun 2008 manakala Malaysia pada tahun 2010.

REKOD PENCAPAIAN DALAM SAINGAN PIALA AFF SUZUKI

Sejak 11 edisi Piala AFF Suzuki yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 1996 (dahulu dikenali sebagai Tiger Cup) Vietnam telah mencatatkan rekod pencapaian yang tidak jauh bezanya dengan Malaysia. 

Selain berjaya  muncul juara pada tahun 2008, Vietnam juga muncul naib juara pada tahun 1998 dan tempat ketiga pada tahun 1996. Vietnam menduduki tempat keempat pada tahun 2000. Selepas perlawanan tempat ketiga dan keempat dihentikan pada tahun 2007, Vietnam mara ke pentas semi final pada tahun 2007, 2010, 2014 dan 2016.

Berbanding dengan Vietnam, Malaysia muncul juara pada tahun 2010, bergelar naib juara pada edisi pertama 1996 dan 2014, menduduki tempat ketiga pada tahun 2000 dan 2004/2005 manakala tewas dalam penentuan tempat ketiga pada tahun 2002. Selepas edisi 2004/2005, Malaysia telah kandas di semi final sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2007 dan 2012.

Kedua-dua buah pasukan juga pernah mengalami detik-detik kemerosotan prestasi dalam Piala AFF Suzuki apabila Vietnam gagal melepasi peringkat kumpulan pada tahun 2004/2005 dan 2012. 

Malaysia pula lebih bernasib malang apabila kandas dalam peringkat kumpulan sebanyak TIGA kali iaitu pada 1998, 2008 dan 2016.

REKOD PENYERTAAN DI PENTAS FINAL

Ironinya, Vietnam menikmati kejayaan mara ke TIGA pentas final yang diraih setiap 10 tahun sekali iaitu pada 1998, 2008 dan 2018. Bagi pasukan Malaysia pula, mereka mempunyai rekod final yang lebih baik iaitu mara sebanyak EMPAT kali ke pentas final. 

Selepas kali terakhir melakukannya pada 1996, Malaysia kini berjaya mara ke pentas akhir setiap dua edisi (empat tahun sekali) iaitu pada tahun 2010, 2014 dan 2018.

Ketika Vietnam menjadi tuan rumah pada tahun 1998, Vietnam tewas kepada Singapura dengan jaringan 0-1. Namun kegagalan tersebut ditebus oleh Vietnam apabila mereka berjaya menjadi juara buat kali pertama sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 2008, apabila menewaskan Thailand dengan aggregate 3-2. 

Kini, selepas sepuluh tahun mendakap kejuaraan, Vietnam kembali hadir ke pentas final 2018 untuk berhadapan dengan Malaysia.

Vietnam meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala AFF Suzuki kali pertama iaitu pada tahun 2008. Foto: English.sina.com

Malaysia mencatatkan kejutan apabila mara ke pentas final Piala AFF Suzuki pada edisi pertama. Pasukan yang tidak menjadi pilihan utama selepas beraksi buruk di pentas Sukan SEA 1997 ini mara ke final, namun dikecewakan oleh jaringan bintang Thailand, Kiatisuk "Zico" Senamuang. Thailand muncul juara dengan jaringan 0-1. 

Malaysia mengambil masa selama 14 tahun untuk sekali lagi muncul di pentas final iaitu suatu tempoh yang cukup mendukacitakan rakyat Malaysia. Sekali lagi, Malaysia melakar kejutan apabila mara ke Final dan menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. 

Selepas kejayaan muncul juara pada tahun 2010, Malaysia dua kali mara ke perlawanan akhir iaitu pada tahun 2014 dan 2018. Ironinya, Malaysia tidak pernah dianggap sebagai pasukan pilihan untuk mara ke final pada tahun 1996,2010,2014 dan 2018, namun mereka berjaya melakukannya.

Malaysia mencipta kejutan apabila memenangi Piala AFF Suzuki 2010 dengan menewaskan pasukan pilihan, Indonesia. Foto: Star2.com



PEMAIN-PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN

Semasa layak ke final buat pertama kali pada 1998, ayam tambatan Vietnam, Nguyá»…n Hồng SÆ¡n telah dipilih sebagai  sebagai pemain paling bernilai kejohanan manakala ketika menjadi juara pada tahun 2008, Dương Hồng SÆ¡n telah menerima pengiktirafan yang sama. 

Walau bagaimanapun tiada seorang pun pemain Vietnam yang menjadi penjaring terbanyak kejohanan. Ini membuktikan Vietnam bukanlah sebuah pasukan yang bergantung kepada kekuatan individu untuk memenangi perlawanan.

Penjaga gol Vietnam, Dương Hồng Sơn diiktiraf sebagai pemain paling bernilai, Piala AFF Suzuki 2008. Foto:Zing.Vn

Bagi kem Malaysia pula, semasa layak ke final buat pertama kali (1996) Zainal Abidin Hassan telah diangkat sebagai pemain paling bernilai kejohanan, manakala semasa dua edisi Final terakhir melibatkan Malaysia, Safee Sali (2010) dan Safiq Rahim (2014) masing-masing berjaya merangkul anugerah penjaring terbanyak kejohanan. Safee Sali mencetak 5 gol pada tahun 2010, manakala Safiq Rahim menyumbat 6 gol.

 Zainal Abidin Hassan, semasa mewakili skuad negara, dalam kejohanan Piala Tiger 1996. Foto: Aff Suzuki Cup

WIRA PENTAS FINAL YANG TAK DIDENDANG: JURULATIH

Vietnam layak ke pentas final atas usaha TIGA orang jurulatih asing. Alfred Riedl dari Austria membawa Vietnam ke final 1998, manakala Henrique Calisto dari Portugal berjaya memimpin Vietnam muncul juara 2008. Park Hang Seo dari Korea Selatan menjadi juara asing ketiga yang berjaya membantu Vietnam layak ke pentas final 2018

Berbanding dengan Vietnam, kejayaan Malaysia ke pentas Final Kejuaraan AFF Suzuki adalah lebih manis kerana kejayaan tersebut dating daripada hasil usaha anak Malaysia sendiri. 

Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan memimpin Malaysia ke pentas final 1996, Datuk K Rajagopal mencatatkan sejarah yang paling diingati iaitu menjadi jurulatih pertama yang berjaya menerbangkan Piala AFF Suzuki ke bumi Malaysia pada tahun 2010 manakala jurulatih  Dollah Salleh, walaupun gagal memenangi perlawanan final AFF Suzuki 2014, namun kejayaan tersebut amat besar ertinya. 

Kini, pada tahun 2018, giliran pembantu jurulatih kepada Datuk K Rajagobal, Tan Cheng Hoe Hoe pula berpeluang membawa pulang piala kebesaran Asia Tenggara itu sekali lagi ke Malaysia.

Henrique Calisto, jurulatih dari Portugal meraikan kejayaan pasukan bimbingannya memenangi Piala AFF Suzuki 2008 selepas menewaskan Thailand. Foto: Bongdaplus

MALAYSIA: KE PENTAS FINAL ATAS DASAR PERPADUAN TIGA KAUM UTAMA

Malaysia membuktikan bahawa sukan bola sepak merupakan suatu ejen perpaduan utama rakyat negara. Selain daripada para pemainnya yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, kejayaan pasukan Malaysia ke pentas final adalah hasil kendalian TIGA orang jurulatih yang berlainan KAUM tetapi hidup sebagai satu bangsa iaitu BANGSA MALAYSIA. 

Jika jurulatih daripada kaum Melayu berjaya membawa Malaysia ke pentas final 1996 dan 2014 (Wan Jamak Wan Hassan dan Dollah Salleh), Datuk K Rajagobal merupakan jurulatih kaum India yang mengemudi Harimau Malaya untuk menjadi juara AFF Suzuki 2010. 

Tan Cheng Hoe melengkapkan senarai dengan menjadi jurulatih pertama berbangsa Cina yang Berjaya membawa kegembiraan kepada seluruh BANGSA MALAYSIA.

Penulis: Hairi Mohd


Post a Comment

0 Comments