NGAUMAN SINGA KIAN BERGEMA NUN JAUH DI INDERA KAYANGAN: PERLIS SEDIA KEMBALI MENGGEGAR!



Saingan liga Malaysia 2019 akan menjengah bumi Malaysia tidak lama lagi. Pada ketika ini kesemua skuad yang bertanding sibuk dengan persiapan masing-masing. Paling menjadi tumpuan pastinya perpindahan pemain ke pasukan terbaharu serta wajah import-import terbaharu buat skuad masing-masing.

 Terdapat sesetengah pasukan agak perlahan dalam usaha mendapatkan pemain, ada pasukan bertindak menguruskan pemain baharu mereka secara senyap dan tidak mahu memperkenalkan secara umum dan ada pasukan yang begitu meriah dan menarik perhatian ramai dalam mendapatkan pemain. Salah satu pasukan yang mendapat perhatian ramai pastinya skuad Perlis yang pada satu ketika pernah menjadi gergasi bolasepak negara.

Perlis yang mengalami musim-musim suram dalam bola sepak sebelum ini dilihat kembali bernafas apabila mendapat sentuhan pengurusan baharu serta dana yang agak besar untuk mereka mendapatkan nama-nama besar pemain ke dalam skuad mereka.

PEMAIN-PEMAIN BERPENGALAMAN MENGHIASI SKUAD PERLIS
Safee Sali, Khyril Muhymeen, Badhri Radzi serta Azmizi Azmi merupakan antara nama yang menghiasi skuad Singa Utara pada musim akan datang. Perlis juga berjaya mengikat nama jurulatih yang berpengalaman iaitu Manzoor Azwira bagi menguatkan taktikal skuad tersebut.


Safee Sali antara pemain berpengalaman yang dijangka bakal meningkatkan kembali aura Singa Utara. Foto: facebook/NorthernLions Perlis

Presiden terbaharu Perlis,  Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie dilihat begitu komited mengenai skuadnya untuk kembali bersaing dalam liga Perdana dan merebut kejuaraan tersebut. Beliau juga merupakan watak utama dalam revolusi skuad Perlis yang sedang pesat membangun kembali serta menjadi individu bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pemain pada musim akan datang.

BINTANG TERANG BUAT SINGA UTARA
Perlis juga umpama mendapat 'durian runtuh' apabila stadium mereka iaitu Stadium Tuanku Syed Putra turut mendapat sentuhan revolusi apabila mendapat bilik persalinan baharu, sistem lampu limpah yang memenuhi piawaian serta padang yang lebih berkualiti untuk pemain beraksi musim hadapan.

Apa yang menarik perhatian penulis, media rasmi mereka juga kini lebih aktif dalam menyampaikan informasi terbaharu buat peminat dan selain turut berkongsi gambar-gambar mengenai skuad Perlis dengan cukup baik.

Semalam, skuad Singa Utara ini juga mula menunjukkan taring bahawa mereka bukan lagi skuad belasahan apabila berjaya membenam cabaran skuad Kedah di laman sendiri. Kehadiran para penyokong Perlis yang membanjiri stadium nyata menyemarakkan skuad tersebut untuk menewaskan Kedah dalam aksi persahabatan dengan keputusan Perlis 3-1 Kedah. 



Walaupun lawan mereka, Kedah belum menampilkan skuad utama musim 2019, namun kejayaan tersebut sedikit sebanyak menjadi daya penolak kepada Perlis untuk tampil dengan aksi yang baik pada musim baharu nanti.

SELAMAT BERJAYA PERLIS!
Harapan penulis pastinya bahawa skuad Perlis ini mampu berjalan lancar sepanjang liga berlangsung serta tidak mempunyai masalah gaji buat pemain kerana masalah tunggakan gaji kini umpama barah dalam bolasepak Malaysia yang menyakitkan para pemain. 


Gabungan antara pemain, penyokong dan pengurusan amat penting dalam melonjakkan kembali Perlis dalam peta bola sepak negara. Foto: facebook/NorthernLions Perlis

Jika dilihat skuad ini berbelanja agak besar dalam mendapatkan pemain serta ada 'rumours' mengatakan mereka turut ingin mendapatkan khidmat bintang muda, Akhyar Rashid bagi saingan liga musim hadapan. Ini sedikit sebanyak merisaukan samaada dana Perlis mencukupi atau melebihi yang ditetapkan mereka.

Semoga skuad ini mampu memberi saingan terbaik musim hadapan dan terus memeriahkan liga seperti pasukan-pasukan lain!


Post a Comment

0 Comments