DARI JDT KE J LEAGUE, HADI INGIN BERJAYA DI NEGARA ORANG


Foto Twitter BERNAMA

Malaysia bakal mengikut jejak langkah Thailand yang berjaya menempatkan pemain mereka di lig Jepun apabila pemain skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh (Muhammad Hadi Fayyadh bin Abdul Razak) berjaya menandatangi kontrak dengan kelab divisyen dua Jepun (J2) iaitu Fagiano Okayama.

Kejayaan Hadi Fayyadh bakal mengulang sejarah pemain Malaysia yang pernah beraksi di liga Jepun sebelumnya iaitu Wan Zack Wan Haikal dan Nazirul Naim pada tahun 2013 (FC Ryukyu). Walau bagaimanapun Hadi Fayyadh menjadi pemain pertama Malaysia yang berjaya menandatangi kontrak dengan kelab di atas kasta ketiga Liga Jepun kerana Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim hanya beraksi di kelab divisyen ke-4 (JFL) sebelumnya.


Hadi Fayyadh yang merupakan bekas pemain JDTII menandatangi kontrak selama setahun dengan kelab tersebut. Penyerang berusia 18 tahun yang berketinggian 1.85 meter tersebut telah hadir ke Jepun sebanyak dua kali  melalui tajaan Yakult (M) untuk menyertai program latihan percubaan bersama beberapa Fagiano Okayama.

Pemain yang pernah bersekolah di Sekolah Sukan Pahang sebelum menyertai Frenz United pada tahun 2015, telah bergelar pemain profesional pada usia 17 tahun apabila menandatangi kontrak profesional bersama Johor Darul Takzim pada tahun 2016. 

Semasa di Johor Darul Takzim, Hadi telah memulakan aksi bersama skuad Johor DTIII sebelum dinaikkan pangkat ke JDTII dan JDT setahun kemudian. Hadi Fayyadh merupakan pemain paling muda beraksi buat JDT apabila mendapat ‘debut’ pertamanya bersama JDT pada Februari 2017. Hadi Fayyadh juga merupakan pemain termuda beraksi di pentas Liga Super Malaysia.

Hadi mencipta sejarah sebagai pemain pertama lahir pada tahun 2000 yang beraksi di Liga Super 2017. Foto: Johor Southern Tigers

Pada 2 September 2018, JDT telah melepaskan Hadi Fayyadh dari ikatan kontrak bagi memberi ruang  kepadanya untuk berlepas ke Jepun untuk menjalani latihan bersama Fagiano Okayama.

Hadi hadir ke Jepun sebanyak dua kali sebagai usahanya untuk mengetuk pintu liga Jepun tersebut. 

Pada bulan Ogos 2018, Roasso Kumamoto merupakan kelab pertama yang menjadi medan percubaan Hadi sebelum Hadi berangkat ke Jepun sekali lagi pada September apabila menerima surat jemputan untuk menjalani latihan bersama skuad utama Fagiano Okayama.


Semasa Hadi Fayyadh menjalani latihan bersama kelab tersebut, media Jepun yang mengikuti perkembangannya melabelkannya sebagai pemain yang mempunyai kesungguhan tinggi dan berani mengambil cabaran dan ujian pemilihan.

Bersama JDTII, Hadi Fayyadh Berjaya mencetak empat gol.
Hadi Fayyadh merupakan antara prospek masa depan negara apabila penyerang tinggi lampai ini pernah menyarung jersi Malaysia di semua peringkat umur iaitu di peringkat U12,U14,U17,U18,U19 dan U23.

Hadi Fayyadh beraksi dalam semua peringkat umur skuad Malaysia kecuali skuad senior. FOTO/Risky Andrianto/hp.

Sepanjang berada di Jepun Hadi mengatakan bahawa terdapat perbezaan berkaitan dengan teknik latihan di sana dan ianya amat penting untuk membantu perkembangannya. 

Setelah kejayaan mendapat kontrak bersama Fagiano Okayama, Hadi berazam bahawa dia akan berusaha keras untuk bersaing dengan pemain-pemain lain dalam pasukan tersebut san seterusnya mencipta kejayaan di Jepun.



Post a Comment

0 Comments