APAKAH POSISI PEMAIN IMPORT TERAKHIR JDT?

Umum telah mengetahui bahawa JDT akan menjadi wakil pertama Malaysia dalam saingan Liga Juara AFC yang bermula pada tahun 2002. Maka pihak pengurusan telah membuat perancangan rapi dengan membawa pemain terbaik yang sesuai dengan DNA pasukan Harimau Selatan tersebut.


Era pengenalan DNA JDT bermula sejak musim 2017 apabila JDT mula memperkenalkan corak permainan 'free flowing football' yang memerlukan para pemain melakukan hantaran bola dengan lebih intensif dari pelbagai posisi.

Pengenalan DNA JDT bermakna JDT meninggalkan corak permainan era Mario Gomez yang mengutamakan larian bersama bola dan hantaran bola dari arah pemain sayap kiri dan pemain sayap kanan kepada penyerang utama. ‘Free flowing football’ memerlukan pemain yang bukan sahaja mempunyai kualiti hantaran bola yang baik, tetapi mampu mengawal bola yang baik semasa bergerak pantas dan mempunyai daya imaginasi yang tinggi.


LUCIANO FIGUERO PENYAMBUNG WARISAN DNA JDT

Luciano Figueroa diberi mandat untuk mengekalkan warisan DNA JDT yang  pernah digalas oleh Ulisses Morais, Raul Longhi dan Benjamin Mora sebelum ini. Luciano terkenal sebagai seorang penyerang prolifik yang dinamik dan sentiasa bekerja keras menghidu peluang untuk menyumbat gol. Figueroa bukanlah penyerang yang sama karakter seperti Jeronimo Barales, Jorge Silva dan Fernando Marquez di JDT. 

Luciano Figueroa menjadi pilihan pengurusan JDT untuk memimpin JDT 2019. Foto: Johor Southern Tigers

Oleh sebab itu, kemungkinan karakter permainan Luciano Figueroa sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak kejurulatihannya dan taktikal permainan pasukannya.

Maka, pemilihan pemain yang sesuai dengan taktikal dan gaya permainan amat perlu dititik beratkan oleh pasukan JDT. Oleh sebab itu kita dapat melihat JDT menggantikan beberapa pemain yang tidak sesuai dengan taktikal tersebut dengan pemain baharu.


APAKAH KARAKTER PEMAIN ASING YANG DIPERLUKAN OLEH JDT 2019?

Seperti yang kita ketahui, JDT telah membawa masuk dua pemain import baharu iaitu Mauricio Nascimento yang menggantikan Marcos Antonio di bahagian pertahanan tengah dan Aaron Niguez iaitu pemain baka ‘false 9’ yang memberikan kelebihan kepada JDT kerana beliau boleh dimainkan sebagai pemain tengah menyerang, penyerang kedua dan beraksi di posisi sayap kiri dan kanan.


JDT juga telah mengekalkan  Gonzalo Cabrera yang telah menjalankan tugas sebagai pemain sayap kiri dengan baik selama dua musim berturut-turut, selain Natxo Insa dan Harris Harun yang menjadi teras kekuatan di bahagian tengah dan tengah bertahan.

Maka kini hanya satu ruang sahaja tinggal untuk diisi oleh pemain asing dan apakah posisi yang paling sesuai diisi oleh pemain asing tersebut?

Sehingga kini nama pemain import terakhir JDT masih menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat. Pihak JDT sendiri masih tidak menghuraikan siapakah pemain import yang menjadi sasaran mereka.

Berdasarkan senarai empat pemain utama yang dimiliki, banyak pihak yang membuat percaturan sendiri tentang posisi pemain baharu JDT.



ADAKAH PENGGUNAAN ‘TARGET MAN’ SESUAI DENGAN JDT?

Sesetengah peminat JDT mengandaikan bahawa JDT perlu membawa masuk penyerang tengah ke dalam skuad kerana mereka telah mempunyai gandingan Aaron Niguez, Gonzalo Cabrera dan Safawi Rashid yang boleh mengucar-kacirkan barisan pertahanan lawan, maka dengan kemasukan pemain import baharu JDT di posisi penyerang tengah atau mudah disebut sebagai  penyerang tulen, skuad JDT akan menjadi pasukan yang serba lengkap.

Namun, berdasarkan rekod pencapaian lalu, JDT sukar menggunakan kelebihan ‘target man’  dalam sistem permainan mereka. Kesemua ‘target man’ yang dibawa masuk JDT sebelum ini baik Jeronimo Barrales, Mohamad Ghaddar, Jorge Silva mahupun Fernando Marquez tidak memberikan hasil yang maksima apabila menghadapi kesukaran untuk mencipta jaringan.
Mengapakah hal ini berlaku?


Jorge Silva merupakan salah seorang penyerang tulen yang gagal menyinar di JDT. Foto: Johor Southern Tiger.


JDT IBARAT ENJIN YANG KEKERINGAN BAHAN PELINCIR

Hal ini dikatakan berlaku kerana sepanjang dua musim lalu, para pemain JDT kerap menggunakan hantaran-hantaran bola pendek semasa menyerang, mereka saling bertukar posisi dan mencipta gerakan untuk menusuk masuk ke dalam zon 14 pasukan lawan, namun kekurangan JDT ialah pemain pemain JDT kurang pantas dan kurang idea semasa menyerang menyebabkan ‘tempo hantaran’ menjadi lemah. 

Tindakan para pemain JDT yang kerap berlegar-legar di luar Zon 14 dan memegang bola yang terlalu lama menyebabkan pihak lawan segera membaca gerakan mereka dengan mengunci beberapa pemain utama JDT terutamanya ‘target man’ mereka. 

Tindakan pihak lawan yang segera memadatkan lagi zon pertahanan mereka dengan kesemua pemain membantu pasukan bertahan menambahkan lagi kesukaran JDT mencipta gol.

JDT ibarat sebuah enjin yang kekeringan bahan pelincir. Kebanyakan lawan JDT lebih rela menggunakan taktikal berkampung di zon mereka sendiri apabila menerima asakan JDT. Oleh sebab itu JDT mengalami kesukaran untuk menjaringkan gol.

CIRI-CIRI YANG PERLU ADA PADA PEMAIN IMPORT BAHARU JDT?

Maka,  apakah ciri-ciri yang perlu ada oleh pemain import terakhir JDT?

Kemungkinan, ciri-ciri yang perlu ada pada pemain asing terakhir JDT ialah pemain yang mempunyai kawalan bola yang baik, pantas dan mempunyai daya hidu yang tajam untuk mencipta jaringan.

 Maka pemain tersebut bukanlah seorang penyerang tulen tetapi seorang pemain tengah serba boleh yang dapat mengisi setiap ruang dan rongga kepincangan semasa JDT mencipta serangan.
Dengan sistem ‘free flowing football’ dan karakter  Luciano Figueora yang terkenal sebagai seorang penyerang serba boleh yang dinamik dan rajin mencipta peluang untuk menjaringkan gol, maka JDT 2019 pasti akan tampil dengan pendekatan yang berbeza namun dengan kekal taktikal yang sama.


APAKAH RAMALAN POSISI SEBENAR PEMAIN IMPORT TERAKHIR JDT?


Ramalan kami:
Di sini kami ramalkan beberapa formasi JDT selepas kehadiran pemain import baharu nanti:


Ramalan 1: Pemain import terakhir JDT akan menjadi watak penting di bahagian tengah menyerang dengan membentuk gandingan satu-dua bersama Aaron Niguez, di mana Aaron Niguez akan beraksi sebagai 'false 9'. Pemain sayap menyerang JDT, Cabrera dan Safawi Rasid mampu bertindak balas dengan baik terhadap kelbihan false 9 yang JDT miliki.


Ramalan 2: Berdasarkan kebolehan semula jadi Safawi Rasid untuk menjaringkan gol, ada kemungkinan beliau dipindahkan ke bahagian penyerang/penyerang jadian dengan pemain import baharu diletakkan di bahagian sayap manakala Aaron Niguez sebagai pemain tengah menyerang atau membentuk gandingan satu-dua bersama Safawi Rasid/Hazwan Bakri/Syafiq Ahmad


Ramalan tiga: Aaron Niguez mempunyai kelebihan seperti Cabrera dan mampu melakukan percubaan dari jarak jauh. Aaron juga mampu beraksi di pelbagai posisi sama ada penyerang jadian mahupun penyerang kedua. Ada kemungkinan JDT akan membawa seorang pemain untuk beraksi di bahagian serangan (sama ada sebagai penyerang utama atau 'false 9')


APAKAH AKAN BERLAKU JIKA JDT TIDAK MENGGUNAKAN PENYERANG TULEN?

JDT saban tahun membawa masuk penyerang tulen ke dalam pasukan mereka. Namun sejak dua musim terakhir, penyerang tulen seakan-akan tidak serasi dengan falsafah permainan JDT kerana penyerang tulen yang bertindak sebagai 'target man' tidak banyak terlibat dalam gerakan mencipta ruang dan peluang untuk menjaringkan gol. Mereka lebih berfungsi sebagai penyudah dan semestinya kerap menjadi tumpuan untuk dikunci oleh lawan.

Dengan gaya permainan JDT, kemungkinan JDT akan membawa masuk pemain serba boleh di bahagian tengah dan bertindak sebagai 'support system' kepada Aaron. Jika perpindahan tersebut menjadi realiti, kemungkinan besar JDT akan kekal dengan formasi 4-3-3, namun lebih menekankan ketajaman hantaran bola rendah dan panjang dan tempo serangan pantas semasa menyerang berbanding dengan memfokuskan bola kepada penyerang utama. 

JDT juga pasti akan menggunakan kelebihan yang dimiliki oleh pemain import baharu mereka, Aaron Niguez, Natxo Insa dan Gonzalo Cabrera untuk membentuk barisan pemain mantap dan mempunyai kemahiran mengawal bola yang baik. Pasti nya banyak hantaran pendek, panjang dan pertukaran posisi berlaku dengan tempo yang pantas semasa JDT menyerang.


Secara ringkasnya, JDT tidak lagi menggunakan penyerang tulen seperti apa yang dipraktikkan oleh pasukan Liverpool apabila menggunakan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Furmino sebagai rangkaian menyerang mereka.

Di bahagian tengah JDT,  posisi tersebut akan diisi oleh Natxo Insa sebagai pivot dan seorang pemain import sebagai pemain tengah menyerang. Maka kemungkinan besar, pemain tempatan seperti Nazmi Faiz Mansor dan Syamer Kutty Abba perlu berusaha keras untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan untuk diberikan tempat dalam kesebelasan utama. Namun, di manakah posisi Aaron dan Ilsa jika kedua-duanya mengisi kesebelasan utama?


Aaron Niguez menjadi pemain import terbaharu yang dibawa masuk ke JDT bagi menggantikan Fernando Elizari. 



SEANDAINYA JDT MEMBAWA IMPORT BAHARU DI POSISI PEMAIN TENGAH MENYERANG?

Jika JDT membawa seorang lagi pemain tengah menyerang, pemain tersebut  akan menjadi watak penting pasukan. kemungkinan besar, pemain tersebut akan mengisi posisi pemain tengah menyerang dan akan bergandingan dengan Aaron Niguez yang mampu beraksi sebagai pemain ‘false 9’ di hadapannya. Kedua-dua pemain ini akan bergandingan mencipta setiap gerakan dan jaringan dengan disokong oleh Natxo Insa sebagai pivot di bahagian tengah.


 Rangkaian serangan juga akan dikembangkan di bahagian kiri dengan adanya Gonzalo Cabrera. Aaron yang juga boleh beraksi di bahagian kiri boleh bertukar-tukar posisi bersama dengan Gonzalo Cabrera.

Posisi di bahagian kanan akan diisi oleh Safawi Rasid yang menjalankan tugas dengan baik pada musim lepas. Dengan adanyanya Safawi Rasid di bahagian kanan, Empat pemain ini akan menjadi tunjang kepada setiap gerakan serangan JDT yang akab bermula di bahagian tengah.


PERTUKARAN POSISI ANTARA PEMAIN AKAN MENJADI LEBIH KERAP

JDT akan bermain sebagai sebuah unit  menyerang. Pertukaran posisi sepanjang permainan juga pasti akan lebih kerap berlaku bagi mengelirukan lawan dan mengelakkan pihak lawan mudah membaca nombor pemain JDT. 

Faktor ini  akan menjadi jawapan yang kuat terhadap keputusan JDT yang mungkin tidak membawa masuk pemain penyerang tulen tetapi mengutamakan beberapa pemain import di bahagian tengah yang boleh bermain di pelbagai posisi yang sama. 

Pertukaran-pertukaran posisi semasa menyerang dapat menutup kelemahan yang berlaku pada musim lepas di mana JDT sering terlihat statik dengan banyak bola cuba disalurkan kepada ‘target man’ di samping gagal menerobos masuk ke kotak penalti lawan.

Pemain tempatan seperti Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad akan menjadi alternatif untuk mengisi posisi Safawi Rasid, malah mereka juga akan menjadi pilihan jika terdapat perubahan taktikal jika pemain seperti Aaron dibawa keluar atau beraksi di posisi Isael atau Cabrera.

Cabrera akan terus memainkan peranan besar dalam skuad JDT 2019. Foto: Hafiz Othman/Goal.com

Dengan begitu banyaknya ‘pool’ JDT di bahagian tengah, maka sistem free flowing football JDT akan menjadi lebih lancar dan pasukan lawan terpaksa merencana taktikal yang lebih ampuh untuk menghalang mereka. Jika pemain muda seperti Akhyar Rashid, memilih untuk beraksi bersama JDT, beliau perlu berlapang dada dan menetapkan matlamatnya bahawa ke JDT adalah merupakan suatu proses pembelajaran. 


Akhyar perlu akur bahawa peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama adalah amat sukar buat masa ini dan beliau perlu bersabar dan terus berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan berusaha dan belajar dengan lebih baik daripada bintang-bintang yang ada di JDT.

Kami meramalkan bahawa kemungkinan besar pemain import baharu Johor DT merupakan seorang pemain tengah serba boleh yang bakal menjadi nadi penting di bahagian tengah menyerang JDT yang akan membentuk gandingan duo bersama Aaron Niguez dan menjadi paksi penting kepada kelancaran serangan JDT.
Jadi, apakah pula firasat anda? Pemain di posisi manakah bakal mengisi kuota akhir import JDT nanti?


Post a Comment

0 Comments