Foto: Melaka United
Selepas tamatnya saingan Piala Malaysia 2018, Pihak pengurusan Melaka United mengambil tindakan dengan mencari jurulatih baharu
selepas jurulatih sedia ada iaitu E. Elavarasan bertindak meninggalkan pasukan
tersebut selepas empat bulan mengambil alih skuad Hang Tuah tersebut.
Elavarasan meninggalkan Melaka United dengan rekod Liga Super yang baik apabila
berjaya mengakhiri Liga Super di tangga ke-7 dengan 31 mata. Beliau mengumpul
22 mata buat Melaka United setelah mengambil alih pasukan yang ketika itu di
tangga ke-10 dengan 9 mata.
Pemergian E. Elavarasan telah membuka ruang untuk jurulatih Penang FA
iaitu Zainal Abidin Hassan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh
Elavarasan. Zainal Abidin Hassan mengambil cabaran untuk membawa Melaka United
menjadi pasukan yang lebih baik berbanding dengan tahun 2018.
Kehadiran Zainal Abidin Hassan sebagai jurulatih baharu Melaka United
menjadi topik perbincangan yang menarik untuk diperkatakan. Apakah corak
taktikal yang akan diguna pakai oleh Zainal Abidin Hassan terhadap skuad
baharunya ini?
Jurulatih Melaka United,memulakan sesi latihan bersama pasukannya. Foto: Melaka United
Bola sepak Malaysia sebelum ini terkenal dengan corak permainan gaya
British iaitu ‘long ball’, namun sejak beberapa musim ini kebanyakan
pasukan sudah mula mempraktikan corak permainan ala bola sepak moden dan
kebanyakan sudah mula bermain dengan falsafah permainan ‘free flowing football,
namun, adakah Zainal Abidin Hassan akan tertarik untuk mengikut arus perubahan
atau akan tetap percaya dengan falsafah bola sepak yang kerap digunakan oleh
beliau sebelum ini?
Corak permainan “long ball’ telah cukup sebati dengan Zainal Abidin
Hassan. Namun, adakah taktikal ‘long ball’ yang digunakan oleh Zainal Abidin
Hassan semasa bersama pasukan Pahang, Selangor dan Pulau Pinang benar-benar
berhasil membawa kejayaan atau sebenarnya kejayaan beliau datangnya daripada
kelompok pemain berkualiti yang beliau miliki?
Adakah jurulatih Zainal Abidin Hassan benar-benar seorang jurulatih yang
mampu merencana strategi kemenangan atau beliau bertuah kerana sentiasa
memiliki para pemain berkualiti yang berjaya merealisasikan rencananya?
Semasa beliau menerajui Pahang FA, beliau mengekalkan dua penyerang
import bertubuh tegap iaitu Dickson Nwakame dan Matias Conti yang mampu
dijadikan ‘target man’ dan bersedia untuk menyempurnakan hantaran-hantaran
daripada pemain sayap pantas Pahang seperti R. Gopinathan dan Azamuddin Akil.
Taktikal warisan Dollah Salleh tersebut berjaya menghadiahkan Pahang Piala
Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada tahun 2014.
Matias Conti pernah menjadi igauan pemain pihak lawan apabila gandingannya bersama dengan Dickson Nwakame kerap merobekkan gawang pihak lawan. Foto: Pahang FA
Apabila Zainal Abidin Hassan beralih arah ke Selangor FA pada musim 2016,
beliau berhijrah bersama dengan beberapa pemainnya di Pahang FA iaitu R.
Gopinathan, Razman Roslan, Hafiz Kamal dan penjaga gol, Khairul Izhan. Seperti
jangkaan, Zainal Abidin mempraktikkan falsafah permainan yang hampir sama
apabila meletakkan penyerang tinggi lampai Patrik Wleh sebagai ‘target man’.
R. Gopinathan dan Andik Vermansyah pula, memainkan peranan sebagai penyalur
bola dari bahagian kiri dan kanan. Tidak banyak kejayaan yang dicatat bersama
Selangor FA selain muncul naib juara Piala Malaysia 2016 dan menduduki tangga
ke-6 Liga Super.
Patrick Wleh dibawa ke Selangor selepas aksi memberangsangkan bersama PKNS FC.
Kredibiliti Zainal Abidin Hassan sebagai seorang jurulatih 'menang
piala' teruji apabila beliau bersedia untuk memimpin pasukan ‘sakit’ iaitu
Pulau Pinang pada pertengahan musim 2017 dan 2018. Berbekalkan sumber dana yang
terhad, para pemain mentah yang beraksi tanpa ‘pemain bintang’ dan ditambah
pula pelbagai masalah pihak pengurusan, Pulau Pinang tersingkir daripada
saingan Liga Super dan mengakhiri saingan Liga Premier di tangga ke-10.
Jadi, mampukah Zainal Abidin Hassan mencipta 'MAGIK' di Melaka United
atau beliau harus bersedia untuk kemungkinan menerima ‘BADI’ disingkirkan
selepas semusim seperti jurulatih-jurulatih Melaka United yang lain?
0 Comments