GERGASI MERAH MEMBUKA PINTU KELUAR UNTUK TUJUH PEMAIN MUSIM 2018


Walaupun sedang berdepan dengan pelbagai kontroversi melibatkan pihak pengurusan kelab, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terus rancak merealisasikan segala strategi demi mempersiapkan pasukan mereka untuk mengharungi musim baharu (Liga Super Malaysia 2019). Selangor FA yang pada mulai sepi daripada sebarang berita perpindahan kini mula rancak dengan mula memasuki pasaran perpindahan pemain. Antara pemain terawal yang dibawa masuk ke kem Selangor ialah pemain sayap kebangsaan dan Kedah FA iaitu Syazwan Zainon atau lebih dikenali sebagai Wan Karpet. Penyertaan Syazwan Zainon ke Selangor FA telah diumumkan secara rasminya oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kepada umum beberapa hari lalu.

Setelah mengumumkan kejayaan menandatangi Syazwan Zainon dari Kedah FA, kini Selangor FA mengumumkan bahawa mereka akan melepaskan beberapa orang pemain senior pasukan tersebut berserta dengan beberapa orang pemain lain yang agak kurang menyerlah bagi musim ini.


NORAZLAN RAZALI
Antara pemain senior yang dilepaskan ialah bekas penjaga gol skuad kebangsaan iaitu Norazlan Razali. Anak jati Johor tersebut telah menyarung jersi Selangor sejak 2011 dan kembali semula ke Selangor dari JDT pada musim 2015 selepas semusim berhijrah ke kelab yang berpangkalan di selatan. Norazlan Razali merupakan salah seorang pemain senior pasukan tersebut dan telah melakukan 129 penampilan bersama Selangor FA.

Kehadiran bekas seorang lagi penjaga gol kebangsaan iaitu Khairul Azhan sedikit sebanyak memberikan cabaran buat Norazlan dan akhirnya musim 2019 merupakan tahun untuk Norazlan melakukan penghijrahan sekali lagi iaitu dengan meninggalkan skuad gergasi merah tersebut.

AZAMUDDIN AKIL & RAZMAN ROSLAN

Pemain senior lain lain yang bakal meninggalkan Selangor FA ialah Azamuddin Akil dan Razman Roslan. Sebelum Azamuddin Akhil menyertai Selangor FA pada musim 2018, pemain berpengalaman yang kerap beraksi di bahagian serangan ini telah mewakili beberapa pasukan ternama liga Malaysia iaitu Pahang FA dan juga Johor DT. Azamuddin Akhil telah menempa pelbagai kejayaan dalam liga domestik bersama Pahang FA dan Johor DT. Antara kejayaan beliau ialah juara Piala Malaysia, Piala FA dan juga Piala Liga Super Malaysia. Penampilan Azamuddin tidak begitu menyerlah bersama Selangor pada musim ini dan tiba masanya untuk bekas pemain pasukan kebangsaan ini melangkah kaki untuk mencari kelab baharu buat musim 2019.

Bagi Razman Roslan pula, beliau merupakan salah seorang pemain yang cukup berpengaruh dalam pasukan Selangor FA. Anak jati Selangor ini merupakan antara pertahanan paling ampuh dalam skuad Selangor dan terkenal dengan watak kepimpinan yang penuh dengan ketegasan dan disiplin.
Persamaan antara Razman Roslan dan Azamuddin Akhil ialah kedua-dua pemain pernah tampil bersama skuad Pahang FA dan beraksi bersama dalam skuad kebangsaan. Kedua-dua orang pemain tersebut telah mencapai pelbagai kejayaan domestik bersama skuad Pahang FA dan Selangor FA.

JOSEPH KALANG TIE
Pemain seterusnya yang bakal melangkah keluar dari Selangor FA ialah seorang lagi pemain senior pasukan iaitu Joseph Kalang Tie. Tidak dapat dinafikan bahawa selain Ronny Harun, Joseph kalang Tie merupakan pemain paling ternama dari bumi Borneo sejak dekad yang lalu. Pemain asal Sarawak ini merupakan satu-satunya pemain dari bumi Kenyalang yang menyinar di liga Malaysia sejak sedekad lalu setelah suatu masa dahulu liga Malaysia cukup berbangga mempunyai anak-anak Borneo (Sabah dan Sarawak) yang hebat bermain bola seperti Abdul Jalil Ramli, Suharmin Yusof,  Julius Ating, Matlan dan Zainizam Marjan, Ramos dan Ramles Sari, Gilbert Casiddy Gawing dan Bobby Pian Maihah.

Bekas pemain kebangsaan ini mempunyai pengalaman yang luas dalam liga Malaysia kerana telah menyarung jersi lima pasukan berbeza iaitu Sarawak, Terengganu, Pahang dan Selangor. Setelah beraksi selama semusim bersama Selangor, Joseph Kalang Tie melangkah keluar dari pasukan tersebut. Khabar angin mengatakan bahawa Joseph Kalang Tie menghadiri sesi pemilihan skuad Sarawak yang sedang dalam persiapan  bagi mengharungi saingan Liga Premier Malaysia musim 2019.

SHAHRUL IGWAN
Seterusnya, Shahrul Igwan juga dilaporkan akan memilih angin baharu apabila bakal menyertai sebuah lagi skuad gergasi yang sedang melakukan transformasi besar-besaran iaitu Kedah FA.

ABDUL HALIM ZAINAL & MOHD FAIRUZ ABDUL AZIZ
Pemain-pemain lain yang terpaksa mencari destinasi lain bagi musim 2019 ialah Abdul Halim Zainal dan  Mohd Fairuz Abdul Aziz yang pernah beraksi dengan AirAsia FC dan Shah Alam Antlers.

B. SATIANANTHAN HADIR MEMBAWA SEMANGAT BAHARU
Kemungkinan besar Selangor FA merombak skuad mereka pada musim ini untuk tampil dengan skuad yang lebih segar dan bertenaga. Kemasukan jurulatih baharu iaitu bekas jurulatih kebangsaan dan Felda United iaitu B. Satiananthan, pasti menambah episod teka-teki dalam kalangan penyokong The Red Giant tentang perancangan dan strategi yang bakal dilakukan oleh pasukan legenda tersebut. B. Satianathan juga mempunyai kepakaran yang sama seperti jurulatih Terengganu FC yang terbukti mempunyai kebolehan mengesan para pemain asing yang benar-benar berkualiti dan mampu mengukir senyuman pada wajah para penyokong pasukan masing-masing.

Dengan pasukan Selangor FA telah pun melepaskan beberapa orang pemain asing, maka para penyokong The Red Giants (Selangor FA) pasti tidak keruan menantikan gerangan siapakah pemain asing yang bakal meyarung jersi keramat Merah Kuning tersebut.

Rujukan:

Post a Comment

0 Comments