Liga bola sepak Australia terbahagi kepada dua
bahagian iaitu A League (liga utama bola sepak Australia) dan State league
(liga Negeri-Negeri Australia). Walaupun A League hanya terdiri daripada 10
buah pasukan, namun sebenarnya jumlah kelab-kelab bola sepak di Australia
adalah terlalu banyak. Terdapat ratusan kelab bola sepak yang beraksi dalam
saingan State League di setiap negeri.
A LEAGUE
Saingan Liga Profesional utama Australia ialah A League. A League tiada mempraktikkan sistem relegasi dan pasukan yang sama
akan bersaing sesama sendiri saban tahun. Suatu syarat yang ketat dikenakan
oleh Federasi Bola Sepak Australia untuk kelab-kelab yang ingin bersaing dalam
A League. Setiap kelab perlu mempunyai Lesen A League dan semestinya A League
menolak penyertaan kelab bola sepak yang berunsurkan perkauman atau etnik.
STATE LEAGUE
Bagi State League pula, saingan ini dibagikan
mengikut negeri iaitu dibahagikan kepada ACT, NSW, Northern NSW, Queensland,
South Australia, Tasmania, Victoria dan Western Australia.
Bagi saingan liga negeri (State League), saingan
ini hanya melibatkan saingan dalaman negeri. Hal ini bermaksud kelab-kelab yang
bersaing dalam State league hanya akan menentang kelab dari negeri mereka
sahaja dan tidak akan bersaing dengan pasukan dari negeri lain. (Contoh:
pasukan-pasukan di Victoria hanya bersaing sesama mereka, dan tidak melibatkan
liga negeri NSW, Queensland dan negeri-negeri lain).
Jika A League diuruskan oleh FFA, State league
diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak negeri. State league terbahagi kepada TUJUH
divisyen iaitu NPL, NPL2, State League division1, State League division 2,
State League division 3, State League division 4 dan State League division 5.
Saingan state league dimulakan dengan liga pada
tahap tertinggi iaitu NPL dan diikuti oleh liga divisyen kedua iaitu NPL2 yang
dibahagikan kepada dua buah zon iaitu West dan East. Bagi State League division
1 dan state league Division 2, setiap divisyen juga akan dibahagian kepada dua buah
zon iaitu North-West dan South-East, manakala State League Division 3 hingga
Division 5 kelab-kelab dibahagikan kepada 4 buah zon besar.
LIGA NEGERI VICTORIA
Untuk memahami dengan lebih jelas tentang State
League, kita ambil contoh negeri Victoria. Bagi negeri Victoria, state league
diuruskan oleh Federasi bola sepak Victoria iaitu FFV. Liga utama bagi Victoria
ialah National Premier League Victoria (12 buah pasukan) dan diikuti oleh
National Premier League 2 (NPL2) (20 buah pasukan).
Pasukan-pasukan liga bawahan adalah bermula
daripada Victorian State League Division 1 yang merupakan pasukan yang terdiri
daripada 24 buah kelab bola sepak semi profesional. Kelab yang berjaya di state
league akan dinaikkan pangkat ke NPL2 manakala pasukan di peringkat bawahan
akan mengalami relegasi dan disingkirkan ke Victorian State League Division 2
(24 buah pasukan) dan seterusnya tersingkir ke Victorian State League Division
3 (24 buah pasukan), Victorian State League Division 4 (48 buah pasukan) dan
pasukan divisyen terendah iaitu Victorian State League Division 5 (48 buah
kelab). Selain beraksi dalam liga, kelab-kelab juga dibenarkan beraksi dalam
FFA Cup yang mempertembungkan semua kelab daripada pelbagai divisyen.
Sesungguhnya tidak keterlaluan untuk mengatakan
bahawa walaupun Negeri Victoria dikuasai oleh populariti sukan AFL di kaca
media, namun bola sepak merupakan sukan yang paling berpengaruh dan aktif di
seluruh Victoria dan Melbourne. Buktinya terdapat Ratusan kelab bola sepak yang
aktif mengikuti liga bola sepak negeri dan mempunyai akademi bola sepak
masing-masing.
Ibu bapa kini semakin berpandangan terbuka terhadap
bola sepak dan giat menghantar anak mereka menyertai akademi-akademi bola
sepak. Atas sebab ini tidak mustahil untuk mengatakan bahawa inilah tujuan
sebenar Federasi Bola Sepak Australia (FFA) menyertai Federasi bola sepak Asia
(AFC). FFA memerlukan rakan kongsi untuk memasarkan kesemua pemain-pemain bola
sepak mereka keluar Australia untuk mendapatkan pendedahan dan peluang yang
lebih baik buat pemain-pemain mereka. Pendek kata negara-negara akan menjadi destinasi
pemain-pemain dari Australia jika mereka gagal untuk beraksi di Eropah.
Foto: footballvic
0 Comments