DURI DALAM DAGING


Pada malam ini, perlawanan tumpuan untuk saingan Piala FA pasti terarah terhadap perlawanan antara JDT menentang PKNS FC. Selain akan menentukan nasib dan perjalanan kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA 2019, perlawanan ini juga bakal menjadi ujian awal terhadap pertembungan kedia-dua buah pasukan dalam saingan liga Super selepas ini.
Suatu perkara menarik tentang perlawanan ini ialah perlawanan ini ibarat perlawanan ulangan FINAL PIALA FA 2016 dan bakal menjadi misi balas dendam PKNS FC yang tewas kepada JDT pada malam tersebut. Dalam perlawanan tersebut, pemain barisan hadapan PKNS FC, Gaby Guerra berjaya mencetak satu gol sebelum akhirnya beliau dilamar oleh JDT lalu berpindah ke kelab lawannya itu pada tahun berikutnya.
Kini, setelah disingkirkan JDT pada penghujung musim 2017 dengan cara mengejut, Gabriel Guerra atau lebih dikenali sebagai Gaby Guerra kembali ke Liga Malaysia 2019 dan sekali lagi menyarung jersi PKNS FC. Ironinya beliau akan kembali ke kubu pasukannya lama, JDT iaitu Stadium Larkin buat kali pertama sejak meninggalkan liga Malaysia.
Pastinya Gaby Guerra bakal menjadi duri dalam daging buat skuad JDT kerana jika sebelum ini Gaby Guerra memainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan JDT dalam saingan Liga Super 2017 dan Piala Malaysia 2017, namun pemain ini kembali dengan misi berbeza dan bakal cuba mengulangi aksinya mencetak gol di gawang JDT pada Final Piala FA 2016.
Ditambah pula dengan tarikh perlawanan pada malam ini adalah bersamaan dengan tarikh kelahiran beliau, pasti Gaby ini menutup aksi pada malam ini dengan sesuatu kejayaan yang bermakna buat dirinya.
Pemain ini bukan sahaja bakal mencari jalan merobek gawang JDT malah beliau pastinya arif tentang selok belok JDT dan kekuatan strategi bekas jurulatihnya iaitu Benjamin Mora dan kekuatan fizikal dan mental beberapa orang bekas rakan sepasukannya di JDT.
Walau bagaimanapun, selamat berjaya buat kedua-dua pasukan dan SELAMAT HARI LAHIR buat Gaby Guerra.
Perlawanan tumpuan Shopee Piala FA Malaysia 2019 Pusingan ke-3:
JOHOR DT vs PKNS FC
Stadium Tan Sri Dato' Hj. Hassan Yunos, Larkin, Johor.
*Selain Gaby Guerra, perlawanan ini juga merupakan malam 'sirih pulang ke gagang' buat seorang lagi bekas pemain JDT iaitu Akram Mahinan.

Post a Comment

0 Comments