KISAH KEKUATAN PECAHAN EMPAYAR BOLA SEPAK YUGOSLAVIA DI PENTAS DUNIA (BAHAGIAN 1)


Oleh: Hairi Mohd

Ayuh sejenak kita mengimbau kembali sejarah kekuatan kuasa bola sepak dari wilayah Balkan tersebut yang pada suatu masa dahulu cukup gah di pentas bola sepak Eropah dan dunia dengan nama YUGOSLAVIA. Akibat perbezaan politik menyebabkan perbalahan antara etnik sehingga menyebabkan perpecahan wilayah hingga mengakibatkan tamatnya riwayat pasukan bola sepak Yugoslavia dalam peta bola sepak dunia.

REPUBLIK PERSEKUTUAN SOSIALIS YUGOSLAVIA
Apabila disebut sahaja tentang nama negara ini, pasti seluruh pencinta bola sepak dunia pasti mengingatinya sebagai sebuah negara bola sepak yang cukup gah suatu masa dahulu. Negara Balkan ini sering menjadi pencabar kepada seluruh kuasa bola sepak dunia baik pada peringkat Eropah, mahupun Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

Yugoslavia yang pada ketika itu merupakan sebuah negara republik kesatuan pelbagai etnik telah layak ke piala dunia sebanyak 12 kali dan tampil dalam Kejohanan Eropah sebanyak 5 kali. Ternyatalah bahawa Yugoslavia yang merupakan sebuah negara Eropah yang sarat dengan pelbagai etnik dan ras merupakan salah sebuah kuasa bola sepak yang amat penting dalam peta piala dunia pada waktu dahulu.


Skuad bola sepak Yugoslavia, cukup gah di peringkat antarabangsa suatu masa dahulu.
Berdiri dari kiri: Jozic, Spasic, Katanec, Vulic, Vujovic, Ivkovic, Hadzibegic
mencangkung: Savicevic, Susic, Baljic dan Stojkovic.

PIALA DUNIA 1990
Skuad bola sepak Yugoslavia pada Piala Dunia 1990 merupakan skuad yang paling banyak dibarisi oleh bintang-bintang dunia daripada pelbagai kumpulan etnik iaitu pemain daripada kumpulan etnik Bosnians, Serbs, Macedonians, Slovenes dan Croats.

Bintang Yugoslavia, Dragan Stojkovic, menjaringkan gol kemenangan Yugoslavio ke atas Sepanyol pada Piala Dunia 1990. 

Para pemain bintang yang melengkapkan skuad Yugoslavia pada waktu itu ialah Safet Sušić (Bosnia), Dejan Savićević dan Dragan Stojković (Serbia), Darko Panćev (Macedonia), Srečko Katanec (Slovenia) dan tiga bintang muda yang akhirnya menyinar dan menjadi menjadi wira Croatia Piala Dunia 1998 iaitu Robert Jarni, Alen Bokšić dan Davor Šuker.



Jaringan kemenangan 1-0 Yugoslavia ke atas Sepanyol yang dijaringkan oleh Dragan Stojkovic dalam Piala Dunia 1990.

KEJOHANAN EURO 1992
Yugoslavia, telah layak ke kejohanan EURO sebanyak lima sejak kali pertama menyertainya pada tahun 1960. Yugoslavia juga pada awalnya layak untuk beraksi di kejohanan EURO 1992 yang pada ketika itu diadakan di Sweden, namun penyertaan mereka dibatalkan akibat berlakunya peperangan etnik di Balkan.
Penyertaan Yugoslavia dibatalkan oleh UEFA dan tempat mereka diisi oleh Denmark. Dalam kejohanan tersebut, Denmark yang diketuai oleh Lars Olsen, Peter Schmeichel, Brian Laudrup telah menggunakan segala peluang yang diberikan apabila berjaya mencipta kisah ‘fairy tales, Eropah dengan menjadi juara Kejohanan EURO 92.


Skuad Denmark, yang pada awalnya menggantikan Yugoslavia, berjaya mencipta kejutan dengan memenangi Euro92 di Sweden. Foto: 

Lanjutan daripada peperangan etnik di wilayah Balkan, akhirnya wilayah besar negara Yugoslavia telah berpecah menjadi beberapa negara kecil. Antara wilayah yang berjaya membebaskan diri daripada cengkaman Yugoslavia dan membentuk Negara kecil ialah Croatia, Bosnia Herzegovina, Macedonia dan Slovenia. Walaupun empayar Yugoslavia semakin mengecil, namun Yugoslavia kekal wujud apabila Serbia dan Montenegro memilih untuk bersatu dan mengekalkan nama Yugoslavia.

KEJOHANAN EURO 1996
Kejohanan Euro 1996 mencatat suatu sejarah baharu kejohanan EURO apabila salah sebuah negara pecahan Yugoslavia iaitu Croatia, telah berjaya meloloskan diri ke kejohanan utama Eropah tersebut. Croatia telah mula menyinar di pentas bola sepak Eropah dengan beberapa pemain bintangnya merupakan para pemain yang pernah bermain di bawah nama Yugoslavia, para pemain tersebut ialah Robert Jarni, Igor Štimac, Slaven Bilić, Dario Šimić, Robert Prosinećki, Davor Šuker, Zvonimir Boban, dan Alen Bokšić.


Skuad Croatia merupakan negara serpihan Yugoslavia yang pertama melayakkan diri ke pentas Euro96. Foto: Neal Simpson.

Croatia layak ke peringkat suku akhir apabila menduduki tempat kedua kumpulan sebelum disingkirkan oleh juara Euro96 iaitu Jerman.


Davor Suker merupakan bintang Croatia yang meningkat naik di pentas Euro96.

PIALA DUNIA 1998
Negara pecahan Yugoslavia, iaitu Croatia meneruskan kegemilangan mereka di pentas dunia sebagai negara merdeka apabila muncul pada Piala Dunia pertama mereka iaitu Piala Dunia 1998 (FRANCE 98) Perancis. Croatia meneruskan kesinambungan kejayaan mereka muncul di Kejohanan EURO 96 dan Piala Dunia 1998 menerusi bintang-bintang mereka sedia ada dan ditambah dengan kemunculan bintang-bintang muda baharu seperti Igor Tudor.
Penampilan pertama Croatia di pentas piala dunia ini merupakan pencapaian terbaik mereka apabila berjaya merangkul tempat ketiga apabila melakukan beberapa kejutan iaitu kejayaan menewaskan Jerman 3-0 pada peringkat suku akhir, dan menewaskan Belanda 2-1 dalam penentuan tempat ketiga setelah tewas kepada pasukan juara, Perancis, 1-2 pada peringkat separuh akhir.


Croatia muncul tempat ketiga dalam Piala Dunia 1998. Pencapaian  hebat mereka apabila muncul di pentas dunia pda edisi Piala Dunia tersebut. Foto: Darren Walsh.

Pada edisi piala dunia kali ini, Yugoslavia juga tampil dengan bintang-bintang utama mereka iaitu Vladimir Jugović, Dejan Savićević, Pedrag Mijatović, Dragan Stojković, Siniša Mihajlović, Savo Milošević, Dejan Stanković dan Darko Kovačević. Walaupun Yugoslavia kehilangan sedikit sengat mereka akibat kemerdekaan Croatia, Bosnia dan beberapa buah negara lain, namun Yugoslavia masih lagi dianggap pasukan pilihan.

Penampila skuad Yugoslavia pada kempen Piala Dunia 1998 dibayangi oleh kejayaan Croatia yang muncul pemenang tempat ke-3.

Mereka tampil bergaya di peringkat kumpulan apabila mencatat keputusan seri menentang Jerman dan menamatkan saingan peringkat kumpulan di belakang Jerman walaupun berkongsi pungutan mata yang sama. Perjuangan Yugoslavia di pentas Piala Dunia 1998 terhenti apabila mereka tewas kepada pasukan Belanda dengan jaringan 1-2

Bersambung di BAHAGIAN DUA

Post a Comment

0 Comments