NAIK TURUNNYA SOKONGAN PARA PENYOKONG KELAB BOLA SEPAK MALAYSIA


Oleh: Hairi Mohd

Dek kemasyhuran pasukan Selatan, Johor DT dan peningkatan pasukan-pasukan pesaing lain seperti Pahang, Kedah dan Perak, kemungkinan ada dalam kalangan kita terlupa bahawasanya pada suatu masa dahulu Kuala Lumpur merupakan pasukan gergasi Malaya dan sentiasa regular sebagai 'title contender'. Anda fikir rival pasukan utama Selangor selain Singapura ialah siapa?

Kuala Lumpur merupakan pasukan rival utama Selangor. Perlawanan antara kedua-dua buah pasukan ini merupakan perlawanan terhangat Liga M suatu ketika dahulu dan dikenali sebagai  ' The Klang Valley derby'. Pada masa dahulu Selangor-KL-Perak-Singapura ialah pasukan yang paling digeruni dalam bola sepak Malaysia tidak kira dalam saingan Liga M, Piala Malaysia atau Piala FA. Gelaran skuad warga kota tu menebal dan sentiasa terngiang-ngiang di minda para pencinta bola sepak negara.

Kuala Lumpur berjaya mengumpulkan penyokong setia yang cukup banyak. Mereka juga merupakan rival kepada Selangor dan Negeri Sembilan. Masih ingatkah kita terhadap pemain sensasi mereka, Azman Adnan yang merupakan pemain pertama ditawarkan kontrak RM1 juta dan menjadi rebutan Pahang, Selangor dan Kedah? Namun, sejak berlaku kemerosotan bola sepak Kuala Lumpur iaitu sewaktu mereka mula-mula pertama kali jatuh dari liga utama, Kuala Lumpur terus terperosok di liga bawahan, hanya pernah sekali naik kembali ke liga Super, namun jatuh kembali hinggalah berjaya layak ke Liga Super pada tahun 2018.

Foto: KLFAOfficial

Pada saat Kuala Lumpur menjuara Liga Premier 2017 dan kembali ke saingan Liga Super, ada yang bertanya "Orang KL ni tak layan bolakah? Sambutan kejuaraan MPL pun tak ada orang turun"

Kata-kata ini mengingatkan saya kepada memori pada zaman sekolah dulu, semasa Johor FC layak bermain di Liga Malaysia dan muncul sebagai kelab pertama ke Piala Malaysia 2000, saya jaja cerita ini kepada kawan-kawan di sekolah, namun tiada sesiapapun yang ambil kisah, begitu juga kisah Johor FC yang muncul sebagai kelab pertama menjadi juara Perdana Dua pada tahun 2001 apabila mengetepikan cabaran Sabah dan Johor... juga tiada orang ambil kisah sehinggakan saya berfikir.. Hai.. orang Johor ni tak minat bola Malaysia ke? Terasa macam saya syok sendiri pada waktu itu.


Dari aspek penyokong, sudah menjadi lumrah, jumlah penyokong akan merosot apabila pasukan merosot, namun akan bangkit kembali apabila pasukan bangkit.  Tahun lalu merupakan tahun pertama untuk Kuala Lumpur bangkit semula pada era moden MSL, Era di mana penyokong lebih celik dan matang dalam memberikan sokongan kepada pasukan danmemenuhi kembali stadium mereka. 

Kuala Lumpur berjaya kekal di Liga Super dan berpeluang untuk meningkatkan kembali keyakinan warga kota untuk menyokong pasukan mereka. Namun, Kuala Lumpur yang kini dikemudi oleh Yusri Che Lah masih perlu berjuang berhabis-habisan kerana keadaan mereka pada masa ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana Kuala Lumpur telah tewas dalam dua perlawanan Liga Super 2019 berturut-turut.

Maka, jika Kuala Lumpur berhasrat meletakkan nama pasukan mereka kembali ke posisi pasukan-pasukan elit, para pemain Kuala Lumpur perlulah bekerja keras mencatat kemenangan dan seterusnya kembali mendaki tangga Liga Super Malaysia 2019.

Bagi penyokong pasukan lain pula, jika anda melihat pasukan Kuala Lumpur masih gagal menambat para penyokong untuk kembali memenuhi stadium, maka janganlah anda mengambil peluang untuk mengecam mereka. Stadium Itu stadium mereka dan pasukan mereka, kita sebagai penyokong pasukan lain, perlulah menghormati mereka dan usah ikut campur. Pertanyaan "Kuala Lumpur ada penyokong ke?" hanya akan menunjukkan kedangkalan anda tentang sejarah bola sepak Malaysia.

Apabila anda bertanya sedemikian, cuba anda tudingkan jari telunjuk kepada anda sendiri dan bertanya.

Penyokong Johor DT ialah kumpulan penyokong terbaik Malaysia, maka sebagai penyokong Johor, marilah kita tanya kepada diri kita..

"Dulu pasukan kita ada penyokong ke? Sekitar 2000-2012, Stadium Larkin juga lengang,”


Dulu Melaka ada penyokongkah sehingga menyaksikan stadium Hang Jebat menjadi gelanggang rasmi banyak pasukan lain di liga Malaysia hinggakan penyokong Melaka sendiri hilang dari radar.Sama kisahnya dengan Pulau Pinang, Perlis dan pasukan-pasukan lain yang pernah merasa nasib terhumban ke Liga FAM.

Foto: MelakaUnitedSA

Seperti yang saya katakan, trend di Malaysia, sokongan adalah bermusim. Jika kini pasukan anda mendapat sokongan penuh penyokong, sepatutnya anda berbangga dan tidak merendahkan penyokong pasukan lain.

Semua ini bisa berubah dengan sekelip mata, masihkan anda ingat Stadium Negeri Sarawak FA gegak gempita dengan penyokong sekitar 1999 dan 2013, namun kini sunyi sepi? 

Sebenarnya kesetiaan peyokong di Malaysia belum cukup kuat lagi  tidak kira apa jua pasukan. Kita belum dapat lagi mengumpul sejumlah penyokong yang dapat memenuhkan stadium setiap tahun untuk jangka masa 10 tahun.

Selangor mungkin pasukan legenda, tetapi semasa sebelum kewujudan JDT juga stadium mereka juga bukanlah dipenuhi dengan 1/2 kapasiti, malah 1/3 juga sukar. Saya tinggal di Shah Alam selama 6 tahun dan tinggal 2km dari SSA. Kadang kala saya berkesempatan ke stadium dan antara perlawanan yang pernah saya ingat ialah Selangor FA vs Johor FC. 

Kehadiran penyokong pada waktu itu amat menyedihkan, penyokong Selangor pada waktu itu seperti lupa bahawa pasukan mereka sedang bermain pada waktu itu, manakala penyokong Johor FC yang beberapa kerat itu hilang fokus dan bagai histeria ingin bergambar dengan Fahrin Ahmad yang muncul dan duduk bersama-sama kami di bangku penyokong. Mungkin Johor FC bukan pasukan hebat ketika itu walaupun pernah menamatkan saingan Liga Super Malaysia di atas Selangor, namun hal yang sama berlaku semasa saya menonton Selangor menentang pasukan lain di SSA.

Foto: MStar

Ya.. penyokong Selangor ramai, memang sesak jalanan menuju ke Stadium Shah Alam. Jalanan dan stadium dipenuhi dengan penyokong.. tetapi itu hanyalah ketika Selangor mara ke separuh akhir atau final sesuatu piala.

Pendek kata, tidak kira sama ada anda penyokong JDT, Selangor, Pahang, Kedah, Kuala Lumpur dan pasukan-pasukan lain, hormatilah para penyokong lain dan elak dari mudah mendabik dada kerana kadangkala kita di atas, suatu masa mungkin kita akan berada di bawah.

Foto: KedahFA


Post a Comment

0 Comments