RED BULL: DARIPADA SEBUAH SYARIKAT PENGELUAR MINUMAN PEMBERI TENAGA KEPADA KUASA EMPAYAR BOLA SEPAK DUNIA



Oleh: Hairi Mohd

Red Bull. Suatu nama yang cukup 'gah' dalam dunia sukan masa ini. Red Bull Gmbh merupakan pengeluar minuman pemberi tenaga yang berasal dari Austria ini telah berkecimpung dalam banyak acara sukan lasak dan 'extreme' seperti ski, 'wall climbing' dan sebagainya. Red Bull juga tidak asing dalam dunia permotoran.

Masihkah anda mengingati nama pasukan Formula Satu Sauber Petronas yang cukup gah di Malaysia pada suatu waktu dulu? Selain Petronas dan Credit Suisse, Red Bull juga merupakan penaja utama pasukan Formula Satu itu. Usaha menaja pasukan Formula Satu tersebut bermula pada tahun 1995. Tidak cukup dengan penguasaan Red Bull dalam dunia sukan lasak dan dunia permotoran, Red Bull mengorak langkah pula dalam arena bola sepak sejak awal abad ke-21.

Sehingga kini, terdapat empat buah kelab bola sepak yang mempunyai pengaruh besar Red Bull. Dua buah daripadanya adalah berasal dari benua Eropah manakala sebuah kelab dari benua Amerika Utara dan sebuah kelab lagi dari benua Amerika Selatan. Adakah akan tiba masanya nanti Red Bull akan menguasai kelab dari benua Asia atau tidak keterlaluan, kelab dari negara kita?

Di bawah ialah kelab-kelab yang telah dikuasai oleh Red Bull. Kebanyakan kelab ini adalah diambil alih dan ditaja daripada kelab yang sedia ada dan ditransformasikan menjadi kelab bercirikan Red Bull sendiri:

FC RED BULL SALZBURG

FC Red Bull Salzburg pada asalnya dikenali sebagai SV Austria Salzburg. Selepas dibeli oleh Red Bull pada 2005, Red Bull telah menjenamakan kelab ini semula dengan nama FC Red Bull Salzburg dan menukar warna tradisi kelab daripada ungu dan putih kepada merah dan putih. Kecewa dengan tindakan Red Bull tersebut, telah memaksa sekumpulan penyokong setia SV Austria Salzburg menubuhkan kelab mereka sendiri pada 2005 dengan menggunakan nama asal kelab tersebut. Kelab tersebut telah memulakan saingan daripada level ke-7 liga Austria.



Namun beberapa tahun selepas itu, FC Red Bull Salzburg telah mengalami penstrukturan semula hingga menyebabkan Red Bull kehilangan cengkaman utama ke atas saham FC Red Bull Salzburg dan kini Red Bull lebih bertindak sebagai penaja utama kelab.

Selain itu, FC Red Bull Salzburg telah membuat keputusan untuk menggunakan nama FC Salzburg dalam saingan Eropah dan sedikit perubahan dilakukan pada logo mereka. Pada tahun 2017, UEFA telah menyatakan bahawa kelab-kelab bola sepak tidak boleh mempunyai hubung kait dengan satu identiti yang sama dalam saingan Eropah.



Kebetulan pula FC Red Bull Salzburg mempunyai hubung kait yang sama dengan sebuah lagi kelab milik Red Bull iaitu RB Leipzig. Pelbagai spekulasi dan kontroversi berlaku. Akhirnya FC Salzburg dan RB Leipzig, kedua-duanya dibenarkan untuk menyertai Liga Juara-Juara Eropah pada masa depan.

NEW YORK RED BULLS

New York Red Bulls ialah sebuah kelab dari liga MLS (Major League Soccer) yang berasal dari New Jersey, Amerika Syarikat. NY Red Bulls pada asalnya dikenali sebagai New York Metrostars atau New Jersey Metrostars dan mula beraksi pada tahun 1996.



Pada tahun 1998, kelab ini menggugurkan nama 'tempat asal-usul' mereka dan dikenali sebagai Metrostars. Metrostars merupakan antara kelab pertama dari Amerika Syarikat yang menggemparkan dunia bola sepak Amerika Syarikat dengan membawa pemain terkenal ke sana.


Antara nama pemain terkenal yang bermain di sana ialah Roberto Donadoni dan juga Lothar Matthaus. Lothar Matthaus menyertai mereka pada tahun 2000. Nama Metrostars lenyap apabila pada tahun 2006, Red Bull telah membeli kelab ini dan dijelmakan sebagai New York Red Bulls. Pada tahun 2010, Thierry Henry telah menyertai NY Red Bulls sebagai Marquee player.



RB LEIPZIG

RasenBallsport Leipzig atau RB Leipzig merupakan kelab milik Red Bull yang paling popular kini. RB Leipzig ialah sebuah kelab yang beraksi di Bundesliga Jerman. Kelab ini telah ditukarkan nama daripada SSV Markranstädt, sebuah kelab yang beraksi di level kelima liga bola sepak, kepada RB Leipzig setelah Red Bull membelinya pada tahun 2009.



Pertukaran nama dan pengambilan hak milik kelab oleh Red Bull telah menjadi suatu kebencian dalam kalangan sebilangan penyokong bola sepak liga Jerman kerana perubahan drastik yang dilakukan oleh Red Bull ke atas kelab bola sepak tradisional Jerman.

Mereka menganggap kelab bola sepak Jerman merupakan hak milik penyokong dan tradisinya bukannya hak milik sebuah syarikat pengusaha industri dari luar negara. Pernah berlaku kejadian di mana pihak penyokong pasukan lawan enggan hadir ke stadium RB Leipzig kerana mereka berpendapat bahawa mereka tidak akan merelakan duit hasil tiket perlawanan yang dibeli oleh mereka bertukar menjadi keuntungan buat pasukan Red Bull.




RED BULL BRASIL

Red Bulls Brasil ialah sebuah kelab asal Brazil yang dibentuk pada tahun 2007. Kelab milik Red Bull ini bertanding dalam Campeonato Paulista yang juga merupakan level liga tertinggi di dalam liga negeri Sao Paolo.





RED BULL GHANA

Red Bull Ghana merupakan kelab tunggal milik Red Bull di benua Afrika. Kelab dan akademi bola sepak yang berpusat di Sogakope, Ghana telah mula beroperasi pada tahun 2008. Red Bull mengumumkan bahawa kompleks latihan baharu akan dibina tepat bersebelahan dengan Akademi Red Bull Ghana. Kompleks ini dilengkapi dengan trek dan pelbagai fasiliti utama untuk membantu persediaan pasukan. Pasukan Afrika ini juga menggunakan kepakaran latihan dan jurulatih yang dibawa dari New York Red Bulls. Kelab ini beraksi di Division One League Zone 3B.



CUBAAN RED BULL MENEROBOS KE LIGA PERDANA

Pada tahun 2016, terdapat cubaan daripada Red Bull untuk mendapatkan pengaruh kelab kelimanya, dan liga yang disasarkan oleh mereka untuk meneruskan pengaruh mereka ialah Liga Perdana inggeris. Pada tahun tersebut, Red bull berusaha untuk menguasai West Ham United. Namun tawaran sebanyak £650million telah ditolak mentah-mentah oleh West Ham.

Dapatkah anda membayangkan jika Red bull mengambil alih West Ham dan menukarkan tradisinya? Pastinya jika perkara tersebut berlaku, west Ham akan mengecewakan jutaan peminat Liga perdana Inggeris yang tidak ingin kehilangan salah sebuah kelab tradisional Inggeris.

Cuba anda bayangkan jika pada suatu hari nanti kelab kesayangan anda diambil alih oleh Red Bull dan ditukarkan nama,warna dan logonya dengan identiti Red Bull?

Pasti peristiwa tersebut akan menjadi mimpi ngeri buat anda semua.

Ringkasan Tranformasi Red Bull ke atas pasukan bola sepak:

1. SV Austria Salzburg (1993) --> FC Red Bull Salzburg (2005)
2. NY Metrostars (1996) --> NY Red Bulls (2006)
3. SSV Markranstädt (1990) --> RB Leipzig (2009)
4. Red Bull Brasil (2007)
5. Red Bull Ghana (2008)

Post a Comment

0 Comments