TIGA BINTANG PADA EMBLEM JOHOR DT: JDT 50 LANGKAH KE HADAPAN?



Semasa era revolusi yang berlaku kepada kelab bola sepak selatan tanah air pada tahun 2013, segala mata memandang ke arah Johor DT dan menilai setiap inci perubahan yang dilakukan baik dari aspek penjenamaan semula nama kelab dari Johor FC kepada Johor DT, penstrukturan semula organisasi pasukan termasuklah emblem pasukan. 

Pada masa itu Johor DT yang direvolusikan daripada Johor FC telah memperkenalkan emblem baharu mereka iaitu seekor Harimau yang sedang mengaum berserta dengan tiga bintang di atasnya.

Seperti jangkaan, tindakan pihak pengurusan Johor DT yang telah meletakkan tiga bintang di atas emblem mereka mendapat pelbagai reaksi  negatif daripada para pengkritik dengan mengatakan bahawa JDT bertindak sedemikian tanpa membuat kajian dan mengatakan JDT hanya meniru emblem milik pasukan-pasukan Berjaya seperti Juventus, AC Milan dan Bayern Munich yang juga meletakkan bintang pada emblem mereka. 

Sesetengah peminat melabelkan tindakan JDT tersebut sebagai menghina kegemilangan kelab-kelab tersebut.

JOHOR DT MENYALAHI UNDANG-UNDANG BOLA SEPAK?

Persoalannya, adakah para pengkritik tersebut juga dengan sendirinya telah mengkaji sama ada tindakan JDT tersebut menyalahi undang-undang bola sepak? Adakah mereka melakukan kritikan kerana terikut-ikut akan amalan yang dilakukan oleh kelab-kelab tersebut?

Adakah terdapat peraturan khusus yang digariskan oleh FIFA bahawa sesebuah kelab tidak DIBENARKAN  meletakkan tanda bintang di emblem mereka kerana bintang tersebut melambangkan sesuatu kejayaan yang diiktiraf?

Sebelum melihat kepada tindakan JDT yang meletakkan tiga butir bintang pada emblem mereka, marilah kita bercerita tentang kelab di Eropah meletakkan bintang pada emblem mereka.

JERMAN DAN ITALI
Kelab Jerman dan Itali menggunakan bintang untuk meraikan kejayaan mereka menjuarai liga. Juventus melakukannya buat pertama kali pada tahun 1958 selepas menjuarai gelaran kali ke-10 mereka manakala AC Milan dan Inter Milan hanya meletakkan 1 bintang pada jersi mereka sebagai tanda kejayaan mereka menjuarai gelaran ke-18 mereka. Kini setelah mengumpul 34 kejuaraan liga, Juventus menggunakan 3 bintang pada emblem mereka.

Di Jerman pula, terdapat peraturan yang lebih jelas  iaitu 1 bintang mewakili 3 kejuaraan liga, 2 bintang mewakili 5 kejuaraan liga manakala 3 bintang mewakili 10 gelaran liga manakala 4 bintang mewakili 20 gelaran liga.




Bayern Munich telah meletakkan 4 bintang  selepas mewakili 28 gelaran, manakala Borussia Dortmund telah meletakkan 2 bintang selepas menggondol 8 kejuaraan Bundesliga.

SEPANYOL, ENGLAND DAN PERANCIS
Barcelona dan Real Madrid  merupakan dua buah pasukan yang mendominasi La Liga saban tahun, namun adakah anda melihat kedua-dua buah pasukan ini meletakkan bintang pada emblem mereka? Jawapannya tidak. Kedua-dua buah pasukan tidak meletakkan bintang pada emblem mereka kerana tiada peraturan khusus tentang penggunaan bintang di La Liga.

Begitu juga di England, Liverpool dan Manchester United merupakan dua buah pasukan utama England yang mengumpul kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan liga Juara-juara terbanyak, namun pasukan-pasukan gergasi ini tidak meletakkan bintang pada emblem mereka.
Pasukan gergasi Perancis, Paris Saint German juga tidak meletakkan sebarang bintang pada emblem mereka walaupun bergelar juara Ligue 1 saban tahun, berlainan dengan St. Etienne yang meletakkan 1 butir bintang sebagai mengenang kejayaan lampau mereka.



KEJUARAAN LIGA JUARA-JUARA EROPAH

Walaupun pasukan-pasukan gergasi England seperti Liverpool, Manchester United, Manchester City dan kelab-kelab lain tidak meletakkan bintang pada emblem, ini tidak bermakna tiada kelab lain di England yang segan-silu untuk meletakkannya. Sebagai contoh, pasukan kerdil Nottingham Forest telah meletakkan dua butir bintang pada jersi mereka sebagai mengenang kejayaan mereka merangkul kejuaraan Eropah sebanyak dua kali.

Hal yang sama berlaku di Perancis apabila Olympique Marseille telah meletakkan satu bintang pada jersi mereka semasa beraksi dalam saingan Ligue One. Bintang tersebut diletakkan sebagai penghargaan atas kejayaan skuad 1993 yang Berjaya mencipta kejutan menggondol satu-satunya kejuaraan Eropah buat mereka.

Mengapakah  mereka melakukannya?  Sekali lagi, kita katakan bahawa tiada syarat khusus untuk menghalang sesebuah kelab meletakkan bintang pada jersi mereka dengan apa-apa jua tujuan.
 Oleh sebab itu terdapat sesetengah kelab menggunakan kejayaan mereka di pentas antarabangsa sebagai penanda aras lalu mereka meletakkan bintang pada emblem jersi walaupun beraksi dalam kejohanan domestik.


Sebenarnya tiada peraturan khusus yang ditetapkan oleh UEFA terhadap mana-mana pasukan yang ingin meletakkan tanda bintang tersebut. Jika anda membuat kajian menyeluruh terhadap kelab-kelab gergasi di negara Eropah anda sendiri akan menjadi bingung tentang mekanisme yang digunakan untuk mengurniakan jumlah bintang pada emblem pasukan. Contohnya mengapakah Liverpool dan Manchester United tiada bintang, namun Nottingham Forest mempunyai dua bintang?  

Maka, adakah anda tahu tentang peraturan peletakan bintang di atas jersi?

Sebenarnya tiada peraturan khusus terhadap mana-mana pasukan yang ingin meletakkan bintang pada jersi mereka. Sebenarnya bintang-bintang tersebut diletakkan oleh kelab masing-masing untuk menghargai kejayaan dan sejarah kelab mereka.

Sesetengah kelab meletakkan bintang sebagai  tanda kejayaan mereka merangkul sesuatu piala sama ada domestik atau piala antarabangsa.


MALAYSIA

Pasukan JDT merupakan kelab tunggal yang meletakkan tiga bintang pada emblem mereka.
Tindakan pihak pengurusan Johor  DT mendapat pelbagai reaksi negatif daripada para pengkritik dengan mengatakan JDT meletakkan bintang tersebut tanpa membuat kajian terlebih dahulu.
Namun adakah menjadi kesalahan kepada JDT untuk meletakkan bintang pada emblem mereka sedangkan tiada peraturan khusus yang dirangka oleh FIFA malahan FAM sendiri juga tidak pernah meletakkan syarat-syarat khusus seperti itu.

Tiga bintang pada emblem tersebut juga boleh menggambarkan revolusi yang berlaku kepada pasukan JDT sendiri yang bermula sebagai PKENJ FC sebelum berubah kepada Johor FC dan kini Johor DT. Bukankah itu juga sebagai salah satu langkah mengenang sejarah?
Baiklah, jika pengkritik masih lagi mahu mengaitkan bintang dengan kejayaan, marilah kita berbicara tentang perkara tersebut.

Kini setelah 5 tahun revolusi JDT, JDT telah menggondol sebelas kejayaan dalam tempoh singkat Dengan 5 kejuaraan liga Super berturut-turut, 3 Piala Sumbangsih, 1 Piala FA dan 1 Piala Malaysia termasuklah kejuaraan paling bernilai iaitu Piala AFC, maka wajarlah JDT berbangga dengan tiga butir bintang yang ada pada emblem mereka.

Adakah kejayaan JDT ini dapat menutup kritikan pengkritik tentang tiga buti bintang tersebut?
Mereka mungkin akan membalas dengan kenyataan “ JDT telah meletakkan tiga bintang pada emblem mereka sebelum mereka memperoleh apa-apa kejuaraan!”
Maka, jawapannya mudah sahaja.


JDT ialah sebuah pasukan yang berwawasan dan bervisi tinggi. JDT telah mengorak 50 langkah ke hadapan. Jadi JDT telah bersiap sedia untuk meraikan  kejayaan mereka pada masa hadapan kerana segala persiapan dan modul yang direncana sememangnya diyakini akan membawa kejayaan.
Kini, mereka menuai hasilnya.

TIGA emblem dengan 11 kejayaan.

Post a Comment

0 Comments