SOLUSI PEMBAHAGIAN TIKET BOLA SEPAK KEPADA PENYOKONG LAWAN



Masalah penjualan tiket sama ada kehabisan tiket, penyokong terpaksa beratur panjang, kes ulat tiket, jualan atas talian yang tidak efisien dan penyokong lawan yang diberikan jumlah tiket yang kecil sering menghantui kejohanan bola sepak di Malaysia. 

Salah satu insiden yang pernah menimbulkan kekecohan paling besar sepanjang musim Liga Malaysia 2018 ialah semasa perlawanan Piala Sumbangsih 2018 di mana pada ketika penyokong Kedah begitu ingin menonton perlawanan antara pasukan kesayangan mereka iaitu Kedah FA menentang pasukan tuan rumah iaitu Johor DT.

PUNCA MASALAH

Masalah berlaku apabila penyokong Kedah FA hanya diperuntukkan sebanyak 200 keping tiket berbanding dengan kapasiti Stadium Larkin iaitu sebanyak 30,000 orang. Jumlah 200 keping tersebut hanyalah mewakili jumlah kurang daripada 1% untuk penyokong pasukan lawan.

Angka tersebut pasti SUKAR diterima oleh banyak pihak. Maka, pihak pentadbir liga iaitu Malaysia Football League (MFL) perlu memikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Masalah pembahagian tiket ini berlaku apabila pihak MFL mengambil kira perlawanan Piala Sumbangsih 2018 sebagai dengan perlawanan pertama Liga Super 2018 antara JDT dan juga Kedah FA.

Oleh sebab perlawanan Piala Sumbangsih yang diadakan di kandang JDT tersebut dikira sebagai perlawanan pertama antara kedua pasukan, maka JDT menggunakan hak tuan rumah untuk memperuntukkan jumlah tiket kepada pihak lawan (Kedah FA). 

JDT pastinya mahu menggunakan kelebihan mereka sebagai tuan rumah perlawanan liga Super (mengawal jumlah pembahagian tiket) sebelum terpaksa bertandang ke stadium lawan dalam perlawanan pusingan kedua liga.




CADANGAN SOLUSI
Antara solusi yang mungkin boleh dipraktiskan untuk mengurangkan masalah yang merugikan banyak pihak ini ialah:

PERLAWANAN PIALA SUMBANGSIH, PIALA FA, PIALA MALAYSIA DAN PIALA CABARAN

Gelanggang Berkecuali 
Cara yang paling efektif dan saksama ialah perlawanan Piala Sumbangsih perlu diadakan di stadium berkecuali agar dapat memberikan keadilan kepada kedua-dua belah pihak dari aspek lokasi venue pertandingan dan jumlah pembahagian tiket yang sama rata kepada kedua-dua belah penyokong.

PERLAWANAN LIGA MALAYSIA
Pada masa yang sama, bagi mengatasi masalah ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong lawan dan demi mengelakkan kerugian kepada pihak tuan rumah seandainya tiket untuk penyokong pihak lawan tidak habis dijual, MFL juga boleh mempraktikkan beberapa pendekatan:

Penetapan Peratusan Tiket Untuk Penyokong Lawan.
Pihak MFL haruslah menetapkan peraturan pembahagian tiket perlawanan selaras dengan  peraturan FIFA iaitu jumlah minimum tiket untuk penyokong pihak lawan ialah  5 peratus (5%) daripada jumlah kapasiti dalam sesebuah perlawanan bola sepak anjuran pihak pentadbir liga sama ada perlawanan liga mahupun kejohanan piala.

PERATURAN TAMBAHAN
Bagi mengelakkan kerugian kepada tuan rumah yang perlu menyediakan kuota minimum 5 peratus kuota tiket untuk penyokong lawan, kemungkinan beberapa peraturan tambahan wajar dipraktikkan kepada penyokong pihak lawan yang ingin membeli tiket perlawanan.

Antara peraturan tambahannya ialah:

a. Tempoh Masa Jualan Tiket di Kaunter Tiket
Tempoh masa jualan tiket penyokong pihak lawan (away) di kaunter tiket stadium PERLU ditetapkan dan kaunter tiket penyokong pihak lawan harus ditutup beberapa jam sebelum sepak muka perlawanan.
Selepas tamat masa jualan tiket penyokong lawan, kesemua baki yang tidak terjual harus dijual kepada penyokong tuan rumah.

b. Jualan Tiket Atas Talian
Oleh sebab jarak perjalanan ke stadium lawan yang agak jauh, sebahagian tiket 'penyokong pihak lawan' (70% daripada keseluruhan tiket penyokong lawan) harus dijual melalui 'atas talian dan jualan online ditutup 24 jam sebelum perlawanan.

c. Pengurangan Kuota Tiket
Kuota pemberian tiket ‘away’ kepada penyokong sesebuah kelab boleh dikurangkan dari nilai 5% kepada nilai yang lebih kecil jika jualannya sering tidak mencapai kuota 5%.

Langkah ini bertujuan untuk membantu pihak tuan rumah mengelak daripada menanggung kerugian jika jumlah penyokong pihak lawan tidak mencapai 5% daripada  kuota yang ditetapkan.

Post a Comment

0 Comments