PIALA ASIA 2019: GUGURKAN ENAM PEMAIN SKUAD AFF 2018, THAILAND PANGGIL SEMULA ‘SUPERSTAR’ GAJAH PERANG


Piala Asia 2019 bakal menjelang dari 5 Januari 2019 hingga 1 Februari 2019 nanti. Bagi menghadapi kejohanan tersebut, Thailand membuat keputusan untuk menggugurkan enam pemain skuad AFF Suzuki 2018.

Pemain-pemain tersebut digantikan dengan ENAM pemain utama mereka. Langkah ini dilakukan untuk memperkasakan skuad Thailand bagi menghadapi kejohanan Piala Asia yang lebih mencabar berbanding dengan Kejohanan AFF Suzuki.


Antara pertukaran tersebut ialah:

PERTAHANAN

Thailand kembali menyenaraikan TIGA pemain pertahanan senior mereka iaitu dua orang dari kelab liga Thailand dan seorang dari liga Jepun. Pemain tersebut ialah pemain pertahanan kanan dan sayap, Tristan Do yang bakal beraksi untuk Bangkok United dan juga Adisorn Promprak yang bermain untuk Muangthong United. 

Akhir sekali ialah Theerathon Bunmathan yang dipinjamkan ke Vissel Kobe juga kembali dipanggil untuk menguatkan pertahanan Thailand. Tiga pemain yang disingkirkan pula ialah pertahanan berdarah kacukan dari skuad AFF 2018 iaitu Phillip Roller, Kevin Deeromram dan Manuel Bihr.

BAHAGIAN TENGAH

DI bahagian tengah pula, pemain sensasi Thailand, Chanatip Songkrasin dibawa masuk ke skuad ini untuk menggantikan Pakorn Premrak manakala Siroch Chattong pula menggantikan pemain muda yang meningkat naik di Buriram United iaitu Nurul Sriyankem. 

Songkrasin dan Chatthong merupakan pemain tengah menyerang yang sentiasa menunjukkan aksi mantap kepada skuad utama Thailand.

SERANGAN

Tiga penyerang Thailand dalam kempen AFF Suzuki 2018 iaitu Adisak Kraisorn, Supachai Jaided dan Chananan Pombuppha dikekalkan manakala seorang sahaja penyerang disingkirkan iaitu Mongkol Tossakrai. 

Mongkol memberi laluan kepada penyerang sensasi Thailand berusia 30 tahun iaitu Teerasil Dangda. Pengalaman Teerasil Dangda yang berkelana ke J League bersama Senfrecce Hiroshima pasti ditagih oleh Thailand untuk mempertajam jentera serangan Thailand.

Teerasil (30 tahun, Adisak (27 tahun) dan wonderkid dari Pattani berusia 20 tahun iaitu Supachai Jaided pasti menjadi taruhan terbaik Thailand dalam kejohanan ini.


BINTANG TERSINGKIR

Dalam kalangan pemain bintang senior Thailand, penjaga gol utama mereka iaitu Kawin Thamsatchanan terpaksa digugurkan dari skuad Piala Asia Thailand. 

Penjaga gol kelab divisyen dua Belgium, OH Leuven itu disingkirkan selepas gagal untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan kaki yang dialami beliau sejak Oktober. 

Oleh itu, Thailand mengekalkan tiga orang penjaga gol yang tersenarai di kejohanan AFF lepas. 6 pemain dari kejohanan tersebut digantikan bagi memberi laluan kepada pemain utama yang direhatkan tempoh hari.




PELUANG THAILAND DI PIALA ASIA

Thailand diundi dalam kumpulan A bersama dengan tuan rumah iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), pasukan sederhana dari Timur Tengah iaitu Bahrain dan pasukan terkuat dari Federasi Bolasepak Asia Selatan (SAFF) iaitu India. 

Berdasarkan undian kumpulan tersebut, Thailand berpeluang untuk mara sekurang-kurangnya ke pusingan ke-2.Thailand merupakan pasukan dari pilihan ke-2 di belakang pasukan tuan rumah.

Senarai kumpulan dan pasukan yang bertanding dalam Piala Asia 2019. Grafik: BeINsports



Penulis: Omar Khayyam


Post a Comment

0 Comments