KEDAH 2019: KEMBALI KE TITIK PERMULAAN DEMI MEMBINA SEMULA KEGEMILANGAN


Empat orang pemain import Kedah FA telah menjejakkan kaki di bumi jelapang padi tersebut. Foto: Kedah FA


Sejak 2 hingga 3 tahun ini, skuad Kedah dilihat kembali menjadi menjadi salah satu pasukan elit di Malaysia. Era kebangkitan yang dicetuskan oleh bekas jurulatih Tan Cheng Hoe nyata berjaya menarik minat ramai pemerhati bolasepak negara ketika itu.

Kehadiran duo import sebelum ini iaitu, Sandro Da Silva serta Liridon Krasniqi juga menjadi faktor kekuatan pasukan sehingga menjadikan skuad Kedah sebagai antara skuad yang digeruni melalui corak permainan hantaran pendek mereka. 

Tidak dapat disangkal juga, aura yang terdapat pada dua pemain import tersebut ibarat magnet yang dapat menarik peminat kembali ke Stadium darul Aman.

MUSIM 2018: MUSIM PUDAR HIJAU KUNING
Namun, sejak ketiadaan Tan Cheng Hoe, skuad ini dilihat umpama hilang arah dalam permainan. Nidzam Adha sebagai pengganti Tan Cheng Hoe dilihat agak sukar mengekalkan konsistensi permainan dan sedikit demi sedikit DNA yang diterapkan Tan Cheng Hoe mulai pudar.

Musim 2018 merupakan kemuncak kritikal buat skuad ini apabila gagal memperoleh sebarang kejuaraan lantas menerima pelbagai kritikan dari pelbagai pihak.

Sesetengah pemain yang dilihat sebagai watak utama pasukan sebelum ini juga gagal menyerlah selain kehadiran beberapa import baharu yang kurang membantu pasukan. Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Helmi Johari merupakan antara pemain penting pada musim sebelumnya yang dilihat kurang konsisten musim ini walaupun nama-nama ini banyak memberikan sumbangan terhadap skuad.

Persembahan yang ditampilkan oleh pasangan Liridon Dan Sandro juga kadangkala dilihat terlalu berlebihan dan corak permainana kedua- dua orang pemain tersebut kadangkala mudah dibaca lawan selain Andik, Pallares, dan Alvaro yang kurang memberi impak buat pasukan. Kemasukan Paulo Rangel juga dilihat langsung tidak meninggalkan impak yang besar buat pasukan menyebabkan skuad ini dilihat terumbang-ambing. Pendek kata, Paulo Rangel hanyalah sekadar jelmaan semula Pallares.

Persembahan Liridon dan Sandro kurang memuaskan untuk musim 2018. Foto: NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL

Walaubagaimanapun, masih terdapat point positif yang harus diambil kira. Point Positifnya ketika itu ialah beberapa nama pemain muda berjaya mencuri tumpuan. Akhyar Rashid dan Fadzrul Daniel dilihat semakin matang apabila dipanggil beraksi buat skuad utama sekaligus memberikan impak buat diri mereka untuk lebih berkembang.

KEDAH FA 2019
Pada pra-musim kali ini, Kedah dilihat mengambil langkah awal untuk kembali melakukan revolusi dan melakukan pelbagai perubahan dari segi pengurusan, kejurulatihan, dan pemain-pemain baharu.

Anmar Almubaraki merupakan pemain import yang mempunyai pengalaman bermain dua musim di Asia Tenggara sebelum ini.

Berbekalkan bajet yang sederhana, Kedah mengambil keputusan untuk menggugurkan kesemua pemain import sebelum ini dan menggantikannya dengan pemain import yang baharu. 

Antara pemain import yang disingkirkan termasuklah duo Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva. Kedua-dua pemain ini difahamkan menerima gaji yang tinggi dan Kedah mungkin tidak mampu mengikat mereka lagi.

Jurulatih Baharu
Kedah juga mengambil langkah drastik apabila berjaya mengikat jurulatih dari pasukan Home United yang berpengkalan di Singapura iaitu Aidil Shahrin sebagai ketua jurulatih Hijau Kuning.

Kemasukan beliau nyata menjadi bualan hangat buat peminat Kedah apabila beliau mempunyai rekod yang baik ketika mengendalikan Home United sebelum ini. Tak kurang juga, ada yang sedikit sangsi sama ada DNA Kedah FA yang mengamalkan “free flowing football” dapat dikekalkan beliau kerana pendekatan yang dibawa oleh Aidil Shahrin di Home United adalah agak berlainan.

 Pemain Import Baharu
4 pemain import sudah dikenal pasti dan 3 daripadanya sudah tiba ke bumi Kedah. Shakir Hamzah, Fernando Ortega, Anmar Almubarakki, dan Renan Alves merupakan nama pemain import yang bakal menyarung jersi Kedah FA pada musim hadapan. 
Seorang lagi pemain import masih menjadi tanda tanya dan menurut kenyataan KFA, mereka sudah berada langkah terakhir rundingan mendapatkan import yang difahamkan berasal dari Amerika Selatan.

Isu Panas Akhyar Rashid
Melalui perjumpaan KFA bersama Gabungan Kelab Penyokong KEDAH (G32) semalam, terdapat beberapa perkara yang dijelaskan termasuk isu Akhyar Rashid yang menjadi bualan hangat media ketika ini. Difahamkan KFA masih belum menerima isu perpindahan Akhyar dan masih belum menerima apa-apa bayaran untuk membuktikan Akhyar Rashid sebagai pemain bebas.

Penaja Rasmi Jersi Pasukan
KFA juga mengumumkan bahawa syarikat Lotto merupakan penaja rasmi bagi jersi pasukan Utama Kedah serta skuad Wanita Kedah.
Figos pula bakal menjadi penaja rasmi bagi jersi Skuad Presiden dan Belia Kedah bagi 2019. Harga tiket bagi musim hadapan juga belum diputuskan setakat ini dan akan diberitahu secepat mungkin. Dikhabarkan juga stadium sedang dalam proses penambahbaikkan fasiliti seperti surau,dewan dan tandas.
Apa yang paling menarik, KFA juga mengeluarkan kenyataan mengenai siri persahabatan yang akan dilakukan skuad hijau kuning di Thailand pada pra musim kali ini selain mempersembahkan perlawanan 'Unity Shield' yang bakal menemukan Kedah dan Perak sebagai acara tahunan.



Melalui persiapan yang giat dilakukan ketika ini, jelas Kedah menunjukkan kesungguhan yang jitu bagi memulihkan kepercayaan penyokong dan ingin kembali bangkit sebagai pasukan elit dalam negara. Jadi menurut anda, apa lagi yang perlu dilakukan KFA?

Post a Comment

0 Comments