JANGAN ADA BEZA ANTARA KITA


Pagi ini semasa saya 'membelek' laman sosial Facebook saya, terdapat cadangan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan keutamaan dan layanan istimewa terhadap Ultras Malaya (UM) dalam perlawanan yang melibatkan Harimau Malaya.

Apakah bentuk layangan istimewa tidak diperincikan dalam status tersebut. Pihak yang mencadangkan usul ini memberitahu bahawa UM memang layak diberikan keutamaan sebab jika ketiadaan mereka di stadium, tidak mungkin stadium akan bergegar dengan sorakan dan nyanyian penyokong. Menurut individu tersebut, UM ialah penyokong tegar Harimau Malaya.

Patutkah kita melayan cadangan ini? Tidak cukupkah kita ada istilah 'Bangsa Final', 'Penyokong Sejati' dan sebagainya yang memecah-belahkan dan menjarakkan hubungan sesama  penyokong negara kita?

Pelbagai ragam disajikan oleh para penyokong Malaysia. Foto: BERNAMA.

Kini, terdapat pula segelintir individu yang cuba membezakan UM dengan penyokong tegar biasa?

Saya bukan memperkecilkan peranan UM. Jangan salah faham. Saya memang terharu dan teruja dengan peranan serta pengorbanan UM. Semasa saya berada di Bangkok untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018, saya mempunyai kesempatan untuk duduk berdekatan dengan UM. Rasanya amat berbeza sekali!!!

Pemain Malaysia berterima kasih kepada UM. Foto: NSTP/Mohamd Shahril Badri Saali.

Memang 'out of this world'!!! Saya kagum dan 'respect' terhadap semangat UM. (Sayajuga rakan-rakan yang tersiri daripada komrad bersama UM).

Persoalannya apakah kekurangan penyokong tegar yang tidak tergolong dalam UM? Adakah kami kurang patriotik? Adakah kami kurang memainkan peranan kami terhadap kejayaan Harimau Malaya? Adakah kami tidak membelanjakan wang ringgit sama seperti yang dilakukan oleh UM?

Stadium Nasional gegak gempita dengan sorakan penyokong Malaysia.

Walaupun sebelum cadangan itu dibangkitkan, kami juga dapat merasai 'ketidaksamarataan' yang mana para pemain terus menuju ke tempat UM selepas perlawanan walaupun kami berada berdekatan. Bagi kami, ia perkara kecil dan tidak menimbulkan sebarang isu.

Tetapi apabila ada cadangan untuk memberi keutamaan kepada UM, saya rasakan bahawa ini satu cadangan yang akan 'meminggirkan' dan bersifat "menafikan' keberadaan kami para penyokong tegar Harimau Malaya yang lain. 

Betul, mungkin kebanyakan kami tidak begitu vokal dalam sorakan, tetapi yang pasti api patriotik kami di sanubari kami sehangat dengan para sahabat kita bersama UM. Kami juga bersorak menyokong Harimau Malaya.

Penyokong Malaysia  hadir memberikan sorakan kepada Malaysia. Foto: BERNAMA.

Kalau tidak, takkanlah kami sanggup berrkampung di stadium semalaman semata-mata untuk mendapatkan tiket perlawanan. Sesetengah daripada kami juga cuba pergi ke Hanoi, Vietnam secara langsung tetapi apakan daya tiket penerbangan Air Asia untuk penyokong Malaysia sudah habis.

Janganlah kerana kami tidak kelihatan begitu vokal dalam memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan, maka kami dianggap tidak begitu relevan dan penting untuk menjadi 'ekor' Harimau Malaya, lantas tidak diberi layanan yang sama.

Janganlah kita membezakan antara sesama sendiri (penyokong) kerana perkara amat tidak baik untuk keharmonian kita bersama... 
cukuplah...

Harimau Malaya 'jadian' turut meraikan aksi Harimau Malaya di stadium.

Sukan bola sepak mungkin merupakan wadah terakhir untuk kita membentuk persaudaraan sesama kita tanpa sebarang diskriminasi.

KITA SEMUA EKOR SEJATI!!!

JANGAN ADA PERBEZAAN ANTARA KITA!

Penulis: Kenneth Chew

Post a Comment

0 Comments