BAGAIMANAKAH RUPA SEBENAR SEBUAH PASUKAN SIMPANAN LIGA?


Castilla ialah medan perjuangan para pemain muda Real Madrid untuk mencuri ruang ke skuad utama Real Madrid. Foto:Real Madrid/Real Madrid via Getty Images

PASUKAN SIMPANAN DI JERMAN
Di Jerman, pasukan simpanan Bayern Munich (FC Bayern Munich II) dan pasukan simpanan lain bermain di divisyen ke-4 liga Jerman (Regionalliga) dan bukannya melompat terus ke peringkat atasan liga (divisyen 1 atau 2) atau dijelmakan semula daripada sebuah pasukan profesional sedia ada.
Setiap pasukan simpanan diwakili oleh pemain di bawah usia 22 dan 23 tahun. Namun, sebanyak 4 atau 5 pemain dari skuad utama dibenarkan untuk menyertai pasukan simpanan ini. 
Kesemua pasukan simpanan liga Jerman hanya dibenarkan mendaki liga hingga ke divisyen tiga iaitu 3.Liga. Buat masa ini, pasukan simpanan yang berjaya untuk bersaing di 3.Liga hanyalah Werder Bremen II.

FC Bayern II yang beraksi di Reginalliga Foto: Getty Images

Sejarah pencapaian terbaik pasukan simpanan di Jerman ialah Hertha Berlin II yang pernah muncul dalam perlawanan akhir Piala Jerman 1993, namun mereka tewas kepada Bayer Leverkusen. Kini pasukan simpanan telah dihalang daripada menyertai saingan Piala Jerman kerana dikatakan menghalang peluang kelab-kelab amatur untuk beraksi.

Mengapakah pasukan-pasukan ini tidak dibenarkan untuk mara lebih jauh daripada 3.Liga dan bersaing di Piala Jerman? 
Hal ini adalah kerana pasukan-pasukan ini merupakan pasukan simpanan untuk kelab utama mereka dan bukan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan utama. 
Pendek kata pasukan ini diisi oleh pemain-pemain muda yang merupakan masa depan pasukan utama mereka. Mereka diberi ruang dan masa untuk membentuk kemahiran dan karakter mereka sebagai pemain bola sepak profesional.

PASUKAN SIMPANAN DI SEPANYOL
Manakala di Sepanyol pula, konsep pasukan simpanan adalah hampir sama seperti di Jerman iaitu pasukan simpanan dibenarkan beraksi dalam struktur liga yang sama, tidak seperti di England yang memisahkan liga pasukan utama dengan liga pasukan simpanan. 

FC Barcelona B merupakan antara kilang bola sepak yang menentukan masa depan liga Sepanyol dan skuad kebangsaan Sepanyol. Foto: FC Barcelona 

Namun, perkara yang membezakan liga Jerman dan liga Sepanyol ialah pasukan simpanan di Sepanyol seperti FC Barcelona B, Castilla, Atletico Madrid B, Deportivo Alaves B hanya dibenarkan mendaki liga sehingga ke tahap tertinggi iaitu divisyen 2 liga Sepanyol iaitu Segunda Division.
Sebagai contoh, pasukan di liga Sepanyol, iaitu FC Barcelona B yang merupakan pasukan simpanan kepada gergasi La Liga iaitu FC Barcelona telah diwujudkan pada tahun 1970 dan berperanan sebagai pasukan yang bertanggungjawab membangunkan bakat-bakat muda Catalan. 

Pasukan FC Barcelona B secara asasnya bermula di liga Sepanyol dengan beraksi di Tercera Division yang merupakan liga kasta terendah Sepanyol iaitu divisyen keempat sebelum Segunda B, Segunda Division dan juga La Liga.
Hasil daripada persaingan yang diberikan saban tahun, FC Barcelona B kini beraksi dalam divisyen ke-2 liga Sepanyol dan tidak akan dibenarkan untuk beraksi dalam La Liga walaupun mereka menjuarai Segunda Division, namun mereka boleh tersingkir ke divisyen yang lebih rendah.
FC Barcelona B juga tidak dibenarkan untuk beraksi dalam Piala Raja-Raja Sepanyol. Para pemain pasukan simpanan FC Barcelona ini juga terdiri daripada para pemain junior. Kapten pasukan mereka iaitu Sergi Palencia, ialah seorang pemain pertahanan yang berusia 22 tahun.

PASUKAN SIMPANAN DI MALAYSIA
Begitulah situasi pasukan pembangunan di Jerman dan Sepanyol, bagi menyentuh isu pasukan simpanan di liga Malaysia, pada musim ini (Liga Malaysia 2018) dua buah kelab liga Malaysia mempunyai pasukan simpanan iaitu JDTII untuk JDT dan TFCII untuk TFC.

Senarai pemain utama TFCII kelihatan agak 'tua' untuk digelar skuad simpanan kepada TFC. Foto: Rozainah Zakaria

JDTII dan TFCII direvolusikan daripada Johor FA dan T-Team yang pada asalnya ialah sebuah pasukan profesional, namun dihapuskan taraf professional mereka dan diubah kepada sebuah pasukan simpanan untuk pasukan utama. Pasukan yang baru diwujudkan ini kekal berada di kasta kedua liga dan tidak bermula dari bawah seperti yang sepatutnya.
JDTII dan TTCII (baca Johor FA dan T-Team) seharusnya dikekalkan sebagai pasukan profesional manakala pasukan simpanan perlu diwujudkan dan bermula daripada peringkat bawahan dan dianggotai oleh para pemain muda, bukannya pemain profesional dan berpengalaman yang dibawa daripada pasukan utama.

Seandainya pasukan simpanan seperti JDTII dan TFCII kekal tidak dibenarkan untuk layak ke kasta tertinggi liga Malaysia sekalipun bergelar juara liga, apakah relevannya perjuangan dan aksi yang dipamerkan oleh para pemain berpengalaman di dalam skuad ini kerana matlamat mereka adalah membantu pasukan yang diwakili beraksi di liga tertinggi. Oleh sebab itu, tidak relevan bagi skuad simpanan ini diwakili oleh pemain bepengalaman.

JDT dan TFC mempunyai pasukan yang bernaung di bawah pengurusan yang sama iaitu JDTII dan TFCII (Tteam) dan beraksi di peringkat liga atas (MSL @MPL). Seandainya pasukan-pasukan lain digalakkan mempunyai pasukan simpanan, di manakah mereka perlu bermula?

Jika pasukan-pasukan liga Super yang tidak mempunyai pasukan kedua dalam MPL, adakah mereka dibenarkan mewujudkan pasukan baharu (pasukan simpanan dan diberikan slot di MPL?)

Amat menarik untuk kita menunggu kehadiran musim  baharu liga Malaysia 2019 dan menyaksikan bagaimanakah rupa skuad simpanan JDT dan TFC.

Adakah kita akan menyaksikan sekali lagi skuad simpanan ini dihuni oleh pemain terbuang dari skuad utama atau perubahan akan dilakukan dan skuad ini diisi oleh para pucuk muda yang seharusnya dibantu dan digilap untuk mekar menjadi pemain sokongan dan pengganti kepada para senior di skuad utama.

Post a Comment

0 Comments