PENGGUNAAN PATCH 'TRICOLOR COCKADE' PADA JERSI JDT


Oleh: Hairi Mohd
Rekaan jersi adalah sesuatu yang amat penting untuk dititikberatkan oleh sesuatu pasukan, selain membawa identiti pasukan, rekaannya juga amat mustahak disesuaikan dengan citarasa penyokong kerana penjualan jersi merupakan salah satu nadi kepada penjanaan kewangan kelab.
Selain itu, pemilihan emblem, warna jersi, saiz 'font' tulisan dan reka letak nama penaja di atas jersi juga perlu diutamakan. Jersi JDT musim 2018 telah meledak rekod apabila jersi mereka yang dilancarkan telah berjaya mencatat jualan sebanyak RM1.2 juta pada hari pertama pelancarannya.
Namun, JDT juga sekali lagi tidak lari daripada menarik perhatian para pemerhati sukan dalam aspek penggunaan patch logo pada jersi mereka. Jika sebelum ini banyak pihak mempersoalkan tiga bintang yang diletakkan di atas logo pasukan tersebut, sebelum pemiliknya, iaitu Tengku Mahkota Johor merungkai misteri tersebut selepas kelab miliknya itu berjaya meraih kejuaraan-kejuaraan yang dipertandingkan dan ianya berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.
Kini, pelbagai pihak kembali mempersoalkan kewajaran JDT meletakkan patch 'tricolor cockade' pada jersi mereka buat kali ke-3 berturut-turut iaitu pada jersi musim 2016, musim 2017 dan musim 2018. Pelbagai pihak cuba menemplak JDT dengan mengatakan bahawa JDT seharusnya lebih sensitif tentang isu-isu seperti ini kerana setiap rekaan emblem dan patch yang ada pada jersi itu mempunyai maksud dan motif tertentu.
Patch 'tricolor cockade' yang digunakan oleh JDT berbentuk tiga lapis bulatan yang berwarna merah, putih dan biru. Patch tersebut tidak dinafikan berjaya menonjolkan keeleganan jersi JDT itu sendiri. Namun pelbagai pihak terutama dalam kalangan mereka yang mengikuti rapat liga bola sepak Itali mempersoalkan apakah maksud dan relevannya 'patch' tersebut diletakkan pada jersi pasukan JDT? Mereka bertanyakan sama ada sesuai atau tidak pihak JDT meletakkan patch tersebut pada dada jersi mereka sedangkan patch tersebut membawa maksud tersendiri?

Dalam bola sepak Itali, patch 'tricolor cockade' tersebut mempunyai bentuk yang sama seperti patch 'tricolor cockade' JDT cuma perbezaan terdapat pada warna iaitu patch bola sepak Itali berwarna merah, putih dan hijau yang mewakili warna bendera Itali dan telah lama dikhaskan untuk digunakan oleh para juara bertahan Coppa Italia (Piala Itali) atau dikenali sebagai TIM cup. Lazio, Napoli dan Juventus adalah tiga buah pasukan yang menggunakan patch tricolore cockade dalam lima musim terakhir Coppa Italia. Pada setiap musim, hanya juara bertahan Coppa Italia sahaja yang dibenarkan untuk meletakkan patch tersebut pada jersi mereka.

Untuk rekod, Juventus telah menggunakan emblem tersebut buat kali ketiga berturut-turut setelah menjuarai Coppa Italia pada musim 2015,2016,2017 manakala Lazio dan Napoli merupakan juara dua musim sebelumnya. Untuk jersey musim 2017/2018 emblem tersebut diletakkan pada bahagian kanan atas dada pemain Juventus.
Maka, sebilangan penggemar liga bola sepak Itali di Malaysia mempersoalkan dan memperkecilkan pemilihan patch tricolor cockade yang digunakan oleh JDT. Mereka merasakan bahawa JDT tidak sensitif terhadap isu ini.
Sebenarnya, sebelum sesuatu pihak menuding jari ke arah JDT, mereka perlu mengkaji terlebih dahulu apakah maksud di sebalik patch tricolore cockade yang digunakan oleh JDT. Adakah warna merah, putih dan biru tersebut sekadar mewakili warna bendera Johor? Adakah ianya sama dengan tricolor cockade merah, putih dan hijau yang digunakan oleh juara Coppa Italia?

Foto: FC/Juventus FC via Getty Images) & Johorsoutherntigers
Sebenarnya pada pendapat saya, patch tricolor cockade yang digunakan oleh pasukan JDT kemungkinan mewakili simbol REVOLUSI yang telah berlaku dalam pasukan JDT. Simbol tricolore cockade merah, putih dan biru telah digunakan pada era revolusi Perancis sekitar Julai 1789. Tricolor cockade tersebut juga melambangkan warna kebangsaan Perancis dan cockade ini telah digunakan oleh rakyat Perancis pada zaman dahulu untuk diletakkan pada topi dan pakaian mereka sebagai simbol menyokong proses revolusi Perancis menuju ke arah negara Republik.

Foto:atriolis

Oleh itu, jelaslah bahawa patch tricolor cockade yang digunapakai oleh JDT pada jersi mereka adalah lambang kepada revolusi hebat yang berlaku terhadap pasukan tersebut dalam era bola sepak moden ini. Revolusi JDT berlaku pada saat kelab ini dipandang lekeh oleh para pesaing dalam kancah bola sepak Malaysia sebelum pasukan ini berjaya muncul sebagai juara bertahan empat kali berturut-turut Liga Super Malaysia, Juara Piala AFC, Juara Piala FA, juara Piala Malaysia, berada pada ranking pertama kelab bola sepak Asia Tenggara, bermain di kancah bola sepak peringkat benua Asia buat kali keempat berturut-turut, di samping mendapat liputan media-media antarabangsa terhadap kejayaan mereka menyediakan infrastruktur-infrastruktur dan kemudahan bola sepak bertaraf dunia. Kejayaan demi kejayaan ini juga telah menyebabkan banyak tokoh-tokoh terkemuka bola sepak dunia tanpa segan silu telah menjejakkan kaki ke stadium pasukan ini dan mengagumi pencapaian yang berlaku dalam pasukan ini dalam tempoh masa yang singkat.


Maka, inilah REVOLUSI sebenar JDT yang cuba ditonjolkan melalui penggunaan patch tricolor cockade merah,putih dan biru pada jersi mereka.
Kesimpulannya, setiap logo yang dipilih untuk diletakkan di atas jersi perlulah dibuat penelitian dengan penuh mendalam agar berjaya membawa identiti dan sejarah pasukan di samping membawa maksud tertentu. Jersi adalah sesuatu lambang keterampilan sesebuah pasukan. Pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia harus menggandakan usaha dengan membuat pelbagai kajian terhadap rekaan jersi mereka agar kelihatan megah,moden, elegan tanpa perlu memasukkan sesuatu unsur atau elemen yang tidak wajar atau sesuai pada jersi mereka.
Walaubagaimanapun pihak pentadbir liga perlulah meletakkan suatu garis panduan terhadap penggunaan-pengunaan patch yang terdapat pada jersi-jersi pasukan agar keseragaman dapat dibentuk dan tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan pelbagai pihak.

*Artikel ini hanyalah kajian dan pendapat peribadi saya dan tidak melibatkan mana-mana pihak.

Post a Comment

0 Comments