HALALKAN ‘MORALUCHO’ MENCIPTA MAGIS



Oleh: Hairi Mohd
Pada tanggal Mei 2017, pemilik kelab bolasepak JDT iaitu DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ismail pernah berkata bahawa Mario Gomez berjaya memperoleh trofi yang banyak adalah disebabkan kualiti yang ada pada JDT. Kualiti para pemain yang berjuang di bawah panji JDT itu sendiri sebenarnya yang membantu Mario Gomez menyusun deretan piala sehingga diangkat menjadi 'juara hati' oleh seluruh penyokong JDT. 

Namun, para penyokong Johor perlulah membuka minda dan mengelak daripada mudah melatah dengan mengatakan Mario Gomez adalah segala-galanya buat JDT dan beliau lebih baik berbanding dengan jurulatih selepasnya termasuklah gandingan baharu Benjamin Mora dan Luciano Figueroa.

MENTALITI MAHUKAN KEJAYAAN SEGERA PERLU DIBUANG
Sebenarnya tanpa kita sedari, budaya dan mentaliti mahukan sesuatu yang dapat diraih dengan segera masih menebal di dalam kotak minda para penyokong JDT. Mereka perlu sedar bahawa menonton bola sepak itu bukanlah sekadar suatu hiburan tetapi mereka perlu melihat usaha di sebalik jerih-perih kesemua individu di belakang pasukan yang berusaha menghasilkan sesuatu pencapaian yang dapat menjadi legasi pada masa depan. JDT kini berusaha keras untuk menghasilkan sesuatu yang layak digelar 'masterpiece'.

Penyokong hendaklah sedar bahawa Luciano Figueroa dan Benjamin Mora kini sedang memimpin JDT ke laluan yang selari dengan aspirasi dan visi yang dilhamkan oleh TMJ. Sebelum ini, para penyokong masih lagi terpana dek kejayaan jurulatih terdahulu yang membantu JDT menjulang Piala AFC 2015, namun, sedarkah kita bahawa Mario Gomez tidak meninggalkan apa-apa impak kepada pemain tempatan kita? 



Mario Gomez tidak meninggalkan sesuatu 'masterpiece' kepada JDT yang dapat dikekalkan hingga kini. Mario Gomez hanya melakukan kerja-kerja asas seorang jurulatih tanpa meninggalkan sesuatu yang mendatangkan kesan mendalam yang mampu berakar umbi di JDT dan bermanfaat kepada  para pemain muda tempatan JDT.

JDT DI BAWAH LEGASI MARIO GOMEZ
Langkah yang diamalkan oleh Mario Gomez di JDT, pemain diarah untuk bermain bola sepak dengan taktikal asas Liga M sedia ada, idea dan taktikal Mario Gomez adalah dengan menggunakan kepantasan para pemain sayap kiri dan sayap kanan JDT yang merupakan antara yang terbaik di Malaysia pada ketika itu di samping menggunakan kepakaran Safiq Rahim untuk menghantar bola kepada dua pembunuh kotak penalti iaitu Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz. 

Kehebatan Lucero dan Diaz terbukti apabila berjaya menjaringkan berdozen-dozen gol buat JDT. Gerak kerja tersebut boleh dikatakan mudah untuk dilaksanakan apabila kita mempunyai 11 pemain terbaik di dalam liga dan tanpa kita sedari inilah kerja-kerja yang dilakukan oleh kebanyakan jurulatih tempatan dan kelab-kelab di Asia Tenggara yang lain. 

Pernahkah kita imbas kembali bagaimanakah pasukan kendalian Mario Gomez ini apabila bermain tanpa kelibat pemain import seperti Diaz dan Lucero?  Tanpa mereka pasukan yang sama ini tempang dan sumbang malah kelihatan kurang bertenaga.

Maka, inikah 'magis' Mario Gomez yang dibanggakan penyokong JDT?

PEMAIN TEMPATAN DIBAYANGI PEMAIN IMPORT
Di bawah kendalian Mario Gomez, pemain tempatan JDT kekal di takuk lama, mereka tiada deria membunuh, tiada kreativiti untuk menjaringkan gol, masih takut mencuba dan mentaliti mengharapkan 'pemain import melakukan kerja' masih kuat terbenam di minda mereka. 

Kempen Piala Malaysia 2016 menjadi saksi bahawa JDT ialah sebuah pasukan yang hampir sama kuat dengan pasukan lain. Semua ini berlaku kerana pada ketika itu, JDT mempertaruhkan 100% kudrat tenaga tempatan tanpa kelibat Jorge Pereyra Diaz dan Lucero. 



Hampir 90% kemenangan JDT memerlukan kehadiran pemain import. JDT ketika itu terlalu bergantung penuh kepada kuasa import. Kepincangan JDT tanpa kelibat pemain import terserlah semasa semi final ke-2 Piala AFC 2016. Pada saat itu, kita gagal membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa pemain tempatan kita mampu berjaya tanpa bantuan pemain import.

MORALUCHO
Sedarkah kita bahawa gabungan 'MoraLucho' antara Benjamin Mora dan Luciano Figueroa bukan sahaja menampilkan gaya permainan yang lebih menghiburkan (sesetengah peminat tidak akan faham maksud sebenar seni di dalam sukan bola sepak), permainan pasukan JDT kini tampak lebih dinamik dan tersusun, namun perkara yang paling penting untuk diketengahkan ialah apakah warisan yang akan ditinggalkan oleh kedua-dua orang jurulatih ini sekiranya 'kerusi panas' ketua jurulatih bertukar tangan? 

Apakah perkara tersebut?

Keyakinan..


Keyakinan dalam setiap pemain muda tempatan kini dapat dilihat kian bercambah mekar dari setiap perlawanan ke perlawanan yang lain. Dalam tempoh masa singkat, mereka berdua (Mora dan Lucho) berjaya membentuk impak positif dalam diri pemain tempatan.


Anda mungkin tertanya-tanya apakah muslihat DYAM Tunku Mahkota Johor di sebalik keputusan baginda menggandingkan dua nama jurulatih muda ini untuk mengemudi sebuah pasukan gergasi sebesar Johor DT?

Marilah kita selusuri perwatakan kedua-dua individu ini:

LUCIANO FIGUEROA: SANG PEJUANG ABADI
Luciano Figueroa terkenal sebagai seorang pejuang dan penyerang hebat. Pernahkah anda melihat Luciano mengalah dan berhenti berjuang semasa mengemudi jentera serangan JDT?

Luciano Figueroa penuh dengan karakter seorang pejuang sejati. Karakter beliau yang tidak pernah berhenti berjuang ini amat diperlukan oleh para pemain JDT. Mereka perlu menyerap segala aura milik Luciano Figueroa bagi membentuk roh seorang pejuang dalam diri mereka. 


Keberadaan Luciano Figueroa di tepi padang dan di dalam bilik persalinan amat diperlukan dalam usaha menyalurkan roh kepercayaan dalam diri setiap pemain. Manakala Benjamin Mora pula merupakan jurulatih yang sentiasa serius dalam merencana formasi dan taktikal pasukan. Maka, gabungan dua orang insan ini amat diperlukan oleh pasukan juara seperti JDT untuk kekal garang membaham lawannya.



Kini pemain JDT tampak lebih yakin untuk melakukan hantaran-hantaran pendek, memegang bola dengan lebih lama dan bertukar-tukar dalam sekelip mata. Moralucho tampak berjaya menyuntik keyakinan besar dalam diri pemain-pemain tempatan JDT dan juga keberanian kepada anak-anak muda seperti Adam Nor Azlin, Afiq Fazail, Syafiq Ahmad di samping Safawi Rasid terus menunjukkan peningkatan dari aspek kematangan dan daya keyakinan diri beliau. 



Tidak keterlaluan juga dikatakan, keyakinan pemain muda yang dibawa dari Kedah iaitu Akhyar Rashid juga kelihatan mula terbina apabila kian diberikan peluang untuk bermain dalam beberapa permainan penting. Pastinya, peluang bermain yang diberikan kepadanya ketika menentang juara Asia iaitu Kashima Antlers tempoh hari bakal menjadi peluncur momentum buat Akhyar untuk terus memikat hati jurulatih JDT iaitu Luciano Figueroa dan Benjamin Mora.

BENJAMIN MORA PERANCANG BERVISI
Masih ingatkah kita bahawa BENJAMIN MORA pernah membimbing JDTII dengan hanya berbekalkan pemain-pemain muda tetapi berjaya menyaingi pasukan-pasukan gergasi lain terutamanya dalam kempen MPL dan Piala Malaysia 2016? Jurulatih Benjamin Mora juga berjaya menukar mentaliti pemain tempatan daripada 'NO IMPORT, WERE IN TROUBLE' kepada 'NO IMPORT, NO EXCUSES, WE FIGHT!'.



Kita boleh lihat, kini walaupun JDT mempertaruhkan tenaga import di bahagian serangan seperti Gonzalo Cabrera, Diogo dan Leandro Velasquez (sebelumnya Aaron Niguez) namun kesemua pemain termasuklah pemain tempatan mempunyai keyakinan dan semangat  yang lebih untuk mengawal permainan dan membuat percubaan untuk memburu gol, iaitu dengan kata mudah, 'EVERYONE CAN SCORE THE GOAL'. Jika kita imbas kembali, inilah semangat yang diterapkan oleh Benjamin Mora semasa beliau dilantik untuk menggantikan Mario Gomez pada musim 2017 lalu.



Benjamin Mora dan Luciano Figueroa berjaya mencetus revolusi dan rasa kekitaan dalam diri pemain. Hasilnya, berlakulah revolusi dalam diri setiap pemain JDT. Lihat bagaimana revolusi tersebut berkembang dalam diri pemain-pemain muda tempatan kita terutamanya Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad. 


Mulai musim ini Adam dan Syafiq diberikan peranan lebih besar apabila jurulatih Benjamin Mora dan Luciano Figueroa berani memperjudikan nasib dengan memberikan ruang yang lebih besar buat Syafiq Ahmad dan Adam Nor Azlin untuk berada dalam kesebelasan utama dengan menidakkan pengaruh besar Aidil Zafuan dan Hazwan Bakri yang sekian lama ‘lekat’ di kesebelasan utama JDT.

MORA DAN FIGUEROA PENCETUS SEMANGAT PEMAIN
Berdasarkan rekod lalu, pada tahun 2017, walaupun kelab masih mempunya Ghaddar, Guerra dan Cabrera pemain tempatan juga tidak kurang hebatnya apabila mampu memberikan saingan kepada pemain import apabila berjaya menyumbangkan gol di bawah bimbingan Benjamin Mora berbanding dengan tanpa Lucero dan Diaz semasa di bawah era Mario Gomez.

LIGA MALAYSIA 2019
Rekod ini membuktikan bahawa Benjamin Mora dan Luciano Figueroa mempunyai potensi untuk mengembangkan lagi keupayaan para pemain tempatan kita. Buktinya kita berjaya memperoleh Piala Sumbangsih 2019 dengan menewaskan juara Piala Malaysia 2018 iaitu Perak FA. Begitu juga semasa kempen Liga Super Malaysia 2019, pasukan kita mampu menjaringkan gol-gol menarik dan kini JDT kembali secara azalinya menakluki carta liga Super Malaysia apabila mencatatkan keputusan paling konsisten dalam liga Malaysia dengan empat kemenangan dan satu keputusan seri.



KEJOHANAN LIGA JUARA-JUARA AFC 2019
Dalam perlawanan sulung JDT di kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2019 juga JDT berjaya menafikan ramalan awal banyak peminat yang meletakkan JDT bakal ‘rangup’ diratah oleh juara kelab Asia iaitu Kashima Antlers dari Jepun. Namun berbekalkan formulasi yang menarik dan gabungan dua kepala milik Benjamin Mora dan Luciano Figuera, mereka berdusa berjaya menyuntik semangat melawan dalam diri pemain-pemain kelab ini.

Pemain JDT walaupun rata-rata mempunyai kualiti bola sepak di bawah para pemain Jepun, namun mereka sedikit pun tidak menampilkan rasa hormat kepada pasukan tuan rumah. 



Para pemain JDT berjaya memberikan saingan, malah hampir-hampir berjaya menjaringkan gol kemenangan para minit-minit akhir perlawanan. Tidak dilupakan juga dengan pengalaman yang ada pada Farizal Marlias yang menyaksikan beliau berjaya menafikan peluang Kashima Antlers untuk mendahului perlawanan dengan lebih awal.




Oleh itu, wahai penyokong-penyokong JDT, buka minda dan berilah ruang dan peluang kepada coach Moralucho, salurkan sokongan kepada mereka kerana atas keberanian mereka yang cenderung memberikan peluang kepada pemain muda beraksi demi mengumpul minit permainan dan menimba pengalaman mereka.

Ditambah dengan 'sistem pasukan simpanan kelab' dan akademi bola sepak JDT yang tersusun strukturnya nescaya sedikit masa lagi kita pasti berpotensi menjadi sebuah pasukan gergasi yang mampu menghasilkan bintang sendiri melalui akademi bola sepak sendiri yang berpandukan falsafah kelab dan bukannya hanya merupakan sebuah kelab yang mencipta kejayaan segera dengan membeli pemain ternama.


Post a Comment

0 Comments