FAM WAJAR MEROMBAK FORMAT PIALA MALAYSIA


Mungkin sudah tiba masanya pihak pengurusan FAM merombak semula format Piala Sumbangsih dengan mengutamakan juara PIALA FA dan bukannya juara PIALA MALAYSIA. Piala Sumbangsih sepatutnya merupakan saingan di antara juara LIGA SUPER MALAYSIA menentang juara Piala FA kerana kedua-dua pemenang inilah yang akan meneruskan perjuangan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sudah tiba masanya persepsi dan pendapat penyokong bola sepak dan sasaran kelab-kelab Malaysia diubah. Kita perlulah meletakkan sasaran terhadap dua buah kejohanan utama tersebut berbanding dengan trofi Piala Malaysia. 


Untuk rekod, saingan Liga Perdana Inggeris (PL) merupakan liga asing yang mempunyai paling banyak peminat di Malaysia. Tirai Liga Perdana Inggeris dimulai dengan perlawanan dua jaguh bola sepak Inggeris merebut Perisai komuniti (Community Shield). 


PERISAI KOMUNITI


Dalam perlawanan Perisai Komuniti, juara Liga Perdana Inggeris akan menentang Juara Piala FA. Jika juara Piala FA juga merupakan juara Liga Perdana Inggeris, saingan Perisai Komuniti akan melibatkan perlawanan di antara Juara Liga Perdana Inggeris menentang naib juara Liga Perdana Inggeris (mengetepikan naib juara Piala FA). Juara akan memenangi perisai komuniti yang dianggap penting dalam kejohanan bola sepak Inggeris.


Manchester City menjuarai Perisai Komuniti selepas menewaskan Chelsea. Foto: ACTION IMAGES

Persoalannya, peminat bola sepak Malaysia telah lama didedahkan dengan format dan konsep bola sepak antarabangsa terutama di Liga Inggeris yang melibatkan saingan trofi Juara Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Carabao (EFL cup/ Piala Liga Inggeris), namun mengapakah pengetahuan tentang prestij piala tersebut masih lagi tidak dapat diadaptasikan ke dalam saingan bola sepak tempatan sehingga para pencinta bola sepak tempatan masih lagi mengagung-agungkan Piala Malaysia berbanding dengan piala yang lain?



FORMAT PIALA MALAYSIA WAJAR DIUBAH


Jika FAM masih mahu mengekalkan sejarah Piala Malaysia, FAM perlu mengubah semula formatnya agar mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC. FAM perlu mengorbankan saingan Piala FA dengan menggabungkan saingan Piala Malaysia dengan Piala FA. Pasukan yang layak bertanding di Piala FA dan Piala Malaysia digabungkan untuk menjadikannya lebih kompetitif, namun format perlawanan mestilah mengikut format Piala FA dan waktu pertandingannya dipanjangkan lagi. 


16 pasukan yang melayakkan diri untuk bersaing dalam Piala Malaysia 2018

Oleh itu, martabat Piala Malaysia masih lagi dapat dikekalkan seperti mana Copa Del Rey di Sepanyol yang juga dikenali sebagai Piala Raja Sepanyol yang melibatkan empat buah liga Sepanyol dan menggunakan format pusingan kalah mati. Di Sepanyol hanya terdapat dua saingan utama yang paling kompetitif iaitu saingan La Liga dan juga Copa Del Rey selain Super
Copa de Espana iaitu Piala Sumbangsih versi Sepanyol ( Juara La Liga vs Juara Copa del Rey). 

Post a Comment

0 Comments