UBAH MENTALITI.. TIBA MASA UNTUK JUALAN TIKET ONLINE SEPENUHNYA (100%)


Mungkin ada baiknya sistem penjualan tiket diubah 100% kepada pembelian dalam talian. Pada waktu ini pihak pengurusan masih lagi mengambil kira hal penonton yang kurang celik IT mahupun tinggal di kawasan luar liputan internet.

Contoh laman web Burnley FC yang menjual tiket perlawanan Home dan Away secara atas talian. Foto: Burnley FC

Kegagalan kita untuk memulakan jualan tiket 100% secara online adalah sebab persepsi penonton kita sendiri yang SUKAR untuk berubah kepada suatu sistem yang baharu.

Seandainya pihak pentabir liga (perlawanan liga) dan FAM (perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan) meletakkan 10% atau 20% tiket yang dijual secara manual pun, masyarakat tetap akan berasak dan berkumpul secara berkelompok untuk menunggu jualan di kaunter tiket. Pembelian tiket secara tradisional (manual)  mempunyai potensi yang banyak untuk berlaku ketirisan dan mendorong pelbagai pihak mengaut keuntungan. Pengagihan tiket dengan cara ini juga boleh menyebabkan pengagihan tiket tidak dijalankan secara adil contohnya wujudnya pemberian tiket kepada kroni tertentu, golongan VVIP dan sebagainya.


Secara purata, majoriti penonton bola sepak di stadium kini, adalah dari kalangan generasi muda dan celik IT, manakala hanya sebahagian kecil daripada golongan berusia, maka tiada masalah untuk kita memperkenalkan sistem 100% jualan atas talian. Bagi mengelakkan penjualan semula tiket yang dibeli dijual semula melalui laman web sah, pihak pentadbiran bola sepak perlu bekerjasama untuk menggariskan undang-undang baharu untuk menghalang aktiviti gelap ini daripada berterusan aktif di dunia maya.

Di bawah ini adalah contoh cara pembelian tiket secara atas talian yang dipraktiskan oleh kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Burnley FC:

 Persis pembelian tiket di panggung wayang, para penyokong boleh memilih lokasi tempat duduk yang ingin mereka pilih.

Harga setiap tiket ada dipaparkan untuk membantu pembeli membuat keputusan.


Laman web jualan tiket akan memaklumkan kepada pembeli sekiranya tempat duduk tersebut telah pun mempunyai pemilik.


Selepas membuat perubahan tempat duduk kepada tempat duduk yang masih kosong, pembeli boleh memulakan proses pembayaran tiket.

Majoriti penonton tegar yang ke stadium juga adalah penonton muda celik IT. Ya, benar sesetengah kawasan kurang liputan internet. Maka, FAM juga seharusnya memikirkan cara bagaimanakah untuk membolehkan tiket-tiket dijual secara atas talian di kedai-kedai seperti 7 Eleven, Watson, stesen minyak dan premis-premis berhampiran dengan kawasan kediaman komuniti. Jika sesetengah penyokong berkemungkinan tidak mempunyai akaun bank atas talian, mungkin pihak pengurusan jualan tiket boleh bekerjasama dengan wakil jualan atas talian dan juga premis-premis terkemuka seperti 7 Eleven dalam meudahkan urusan pembelian tiket.

Lazada memudahkan para pelanggannya untuk membuat bayaran di premis-premis tertentu seperti 7 Eleven. Foto:Einz

Pihak yang bertanggungjawab juga perlu membuka lebih banyak laman web jualan tiket agar tidak berlaku masalah terhadap kelancaran sistem jualan semasa para penonton ingin membeli tiket secara atas talian.

Masa ini adalah masa untuk berubah, seandainya kita masih berfikiran bahawa jualan 100% tiket akan menyusahkan penonton berusia atau tinggal di kawasan luar liputan internet, maka kita tidak akan berjaya mengubahnya. Perubahan akan mengubah mentaliti dan cara kita untuk mendapatkan sesuatu. 


'Mentaliti pembeli tiket perlulah berubah'

Ambillah contoh mudah, apabila BRIM (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) diperkenalkan, penerima perlu memperbaharui maklumat diri setiap tahun melalui sistem atas talian dan manual. Majoriti penerimanya adalah penerima berusia yang tinggal di kawasan luar bandar. Namun sistem ini dapat diteruskan kerana penerima berusaha untuk menggunakan sistem atas talian ini kerana mereka perlu menggunakannya sama ada dengan inisiatif sendiri belajar menggunakan IT atau meminta bantuan orang terdekat.

Maka, kesimpulannya mentaliti kita perlulah berubah sejajar dengan perubahan teknologi. Aktiviti menunggu tiket di kaunter perlulah diubah kepada jualan atas talian 100%. Pada permulaannya kesukaran pasti akan wujud, namun begitu tindakan ini akhirnya akan membawa kesenangan kepada para penyokong berbanding dengan kesukaran untuk mempraktikkannya.

Cara pembelian tiket secara atas talian untuk sesebuah acara sukan

Post a Comment

0 Comments